Ahad, 12 March 2023 | 5:07pm
Presiden PUSMA, Zarina Ismail
Presiden PUSMA, Zarina Ismail

'Ada majikan sanggup bayar mahal, guna ejen haram asalkan dapat pembantu rumah segera'

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Sesetengah majikan dikatakan sanggup menggunakan khidmat ejen haram bagi mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia dengan cara pantas dan mudah walaupun terpaksa membayar dengan harga hampir RM30,000.

Ejen haram ini menggunakan modus operasi mendekati majikan melalui iklan di media sosial, sebelum 'berjaya' menghantar pembantu rumah dalam tempoh seawal sebulan.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA), Zarina Ismail, berkata cara tidak sah itu terpaksa diambil majikan berikutan mereka mendakwa kelulusan pemprosesan pengambilan pembantu rumah di negara ini mengambil tempoh sangat panjang sehingga empat bulan.

Beliau berkata, situasi yang berlaku itu menunjukkan soal harga bukan keutamaan yang perlu diselesaikan Malaysia dan Indonesia, namun aspek prosedur yang perlu dipermudahkan, selain menangani kehadiran ejen haram di negara ini.

"Kita mendapat maklumat, di Johor misalnya ada yang dikenakan sehingga RM26,000 oleh ejen haram malah ada yang dikenakan hingga RM30,000, tetapi majikan sanggup membayarnya kerana ia mudah.

"Ada syarikat yang sah berdaftar terpaksa menunggu hingga empat bulan bagi kelulusan 'calling visa', tetapi pembantu rumah masih tidak masuk...jadi ada majikan sanggup membatalkan urusan dengan ejen berdaftar dan beralih kepada ejen haram.

"Kerajaan hanya boleh mengawal syarikat berdaftar, namun bagaimana dengan ejen haram ini. Saya percaya sekiranya ejen haram ini dapat ditangani dan prosedur turut dipercepatkan, kos pengambilan pembantu rumah secara tidak langsung dapat diturunkan," katanya kepada BH, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal yang menyebut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, mengakui kos untuk mengambil pembantu rumah warga Indonesia boleh turun serendah RM8,000 seorang berbanding RM15,000 bayaran maksimum ditetapkan kini.

Namun, ia bergantung kepada perundingan antara agensi pengambil pekerja dua negara.

Sebelum ini, Indonesia bersetuju membincangkan semula langkah mengehadkan bayaran kepada RM15,000 seperti dicadangkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ketika sesi dialog baru-baru ini dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah.

Pada masa sama, Zarina berkata, pihaknya amat bersetuju dengan pengurangan harga itu, namun ia perlu diselaraskan dengan isu lebih penting iaitu permudahkan prosedur kelulusan dan kemasukan serta menangani masalah ejen haram.

Beliau berkata, banyak ejen berdaftar berdepan masalah menunggu bekalan pembantu rumah dalam tempoh terlalu panjang walaupun tenaga kerja itu dilaporkan banyak dari negara sumber.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP), Fiona Low, pula berkata isu berkaitan pembantu rumah tidak akan dapat menemui titik noktah selagi aktiviti pengambilan dan pembekalan pembantu rumah di pasaran secara tidak sah sama ada dilakukan orang tempatan atau dari negara sumber terus berlaku.

Beliau berkata, ejen tidak sah dilihat mudah bergerak dan lebih fleksibel tanpa takut dengan tindakan undang-undang sehingga menjadi pilihan sesetengah majikan, sedangkan syarikat berdaftar perlu mengikut proses ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, penurunan kos pengambilan pembantu rumah hanya boleh terjadi sekiranya harga bekalan yang diterima dari Indonesia adalah rendah.

"Jadi kedua-dua pihak perlu mengkaji bagaimana ia boleh diturunkan dan tidak hanya mengharapkan harga itu mampu diturunkan dari pihak di Malaysia saja," katanya.

Beliau berkata, antara faktor lain yang perlu ditekankan dalam aspek harga ialah kehadiran kos sampingan yang belum dimasukkan dalam kos struktur dan tidak dibincangkan ketika rundingan berlangsung.

Katanya, antara contoh membabitkan  kos cop visa di Kedutaan Malaysia di Indonesia yang hanya dikenakan bayaran RM15, tetapi ia meningkat kepada kira-kira RM350 apabila menggunakan pihak ketiga.

"Banyak kos sampingan sama ada kecil atau besar yang belum disebut dalam rundingan tetapi diperakukan bagi pemprosesan termasuk isu bayaran 'sponsor' yang menelan sehingga RM3,000 hingga RM6,000 iaitu pihak yang pergi ke kawasan kampung untuk mencari tenaga kerja kerana pekerja percaya kepada sponsor.

"Jika yang disebutkan itu dapat diperbaiki, dengan sama ada pengguna atau pekerja juga dikenakan hukuman setiap satu mengikut akta dan undang undang, keadaan akan dapat dikawal.   

"Kalau ejen haram begitu fleksibel dan masih berleluasa, kawalan harga sukar dilaksanakan," katanya.

Berita Harian X