KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, mendakwa Pakatan Harapan (PH) mungkin akan mengubah persempadanan kawasan pilihan raya demi mengekalkan kuasa politik kepada gabungan itu untuk selama-lamanya.
Presiden BERSATU itu mendakwa, UMNO akan menjadi parti yang sekadar mengikut kehendak PH sahaja demi menjaga kelangsungan kelompok kecil mereka.
Disebabkan itu, katanya kebimbangan BERSATU adalah masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Itulah sebabnya BERSATU memutuskan untuk keluar dari PH. Itulah juga sebab PAS membuat keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat.
"Perjuangan mereka berbeza dengan perjuangan kita. Tetapi malangnya UMNO, hanya kerana kepentingan seorang individu, rela menggadai perjuangan partinya sendiri untuk orang Melayu," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kelima BERSATU, hari ini.
Dalam perkembangan itu, Muhyiddin turut menyifatkan, perjuangan asal UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera sudah berubah kepada menjaga kepentingan individu.
Presiden BERSATU mendakwa, UMNO kini tidak lagi boleh menjadi parti yang diharapkan untuk menggalas amanah kerana parti itu kini minoriti dalam gabungan parti yang didominasi Pakatan Harapan.
"Apa lagi boleh diharapkan daripada UMNO? Demokrasi sudah mati dalam parti itu dan perlembagaan parti juga dilanggar semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu. Tujuan parti ini berubah daripada menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera kepada menjaga kepentingan individu.
"Individu ini juga dilindungi oleh pucuk pimpinan kerajaan PH. Demi kepentingan untuk mempertahankan kuasa PH, individu ini mesti dipastikan terus menguasai UMNO. Dengan penguasaan itu maka PH akan terus berkuasa," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kelima BERSATU, hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, bahawa kejatuhan UMNO bukan menjadi permasalahan BERSATU, sebaliknya adalah masa depan orang Melayu dan umat Islam.
"Semakin lama mereka dibiarkan berkuasa, semakin banyak kerosakan yang akan dibuat yang mungkin sukar untuk diperbaiki lagi," katanya.