Ahad, 12 March 2023 | 2:19pm
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi MARA

KOTA TINGGI: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, sehari selepas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memuat naik resume beliau di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan beliau sendiri menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi di pejabat kementerian itu, kelmarin.

"(Asyraf Wajdi) telah dilantik, bukan desas desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah watikahkannya, pada Jumaat lalu (kelmarin)," jawabnya ringkas ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai foto beliau menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.

Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter semalam mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan Asyraf Wajid, yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih," jelas Zahid lagi.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi MARA disandang Datuk Azizah Mohd Dun.

Semalam, Asyraf Wajdi yang mengumumkan tidak mempertahankan kedudukan beliau selaku Ketua Pemuda UMNO memuat naik resume beliau di Facebook ketika pemilihan untuk sayap pergerakan parti sedang berlangsung.

"Baru siap kemas kini CV (resume). Siapa yang nak tawarkan kerja bolehlah. Hari ini secara rasmi selesailah tempoh hampir lima tahun mewakafkan diri kepada Pemuda UMNO Malaysia," demikian muat naik beliau berserta 14 lembaran resume.

Berita Harian X