KUALA LUMPUR: Kemenangan dengan majoriti besar dalam saingan pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO semalam secara tidak langsung menafikan dakwaan kononnya wujud beberapa kem tertentu dalam parti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mendapat undian tertinggi dalam saingan jawatan nombor satu Pemuda itu berkata, sokongan besar terhadapnya juga membuktikan hasrat perwakilan di peringkat bahagian dan cawangan yang mahukan satu suara yang padu.
Katanya, ia penting demi melihat UMNO terus bergerak ke hadapan, sekali gus mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti.
"Jika ada kem, sudah tentu pecahan undi (yang besar) berlaku, tetapi ini tidak berlaku dan yang ada hanyalah kem UMNO.
"Saya minta semua rakan, walaupun yang kalah (dalam pemilihan) untuk bersama-sama kerana yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua," katanya kepada BH.
Berdasarkan keputusan, sehingga jam 10 pagi tadi Dr Muhamad Akmal berkata, beliau secara tidak rasmi sudah mendapat lebih 110 undi daripada 189 Bahagian UMNO.
Beliau mendahului tiga lagi calon iaitu bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.
Mengulas lanjut bilangan undi besar diraihnya, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau tidak menjangkakan perkara itu kerana calon lain lebih menonjol.
"Saya jangka jika menang pun mungkin dengan kelebihan satu atau dua undi, tetapi dengan keputusan dizahirkan semalam memang saya tidak jangka.
"Saya hanya berlatarbelakangkan wakil rakyat kampung, tetapi inilah suara sebenar orang UMNO yang mahukan perubahan di peringkat akar umbi.
"Apabila saya berkempen, saya bawa suara untuk mengembalikan kepercayaan kepada UMNO dan keperluan untuk membuat perubahan. Pemuda UMNO perlu ikut kehendak rakyat, bukan pemimpin," katanya.
Mengulas kenyataannya malam tadi untuk meminda Perlembagaan sayap itu bagi mengehadkan usia calon Ketua Pemuda kepada 40 tahun, Dr Muhamad Akmal berkata, usul itu akan dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini.
"Saya komited dalam hal ini supaya Pemuda UMNO dapat melahirkan generasi pemimpin baharu, bukan mengekalkan kedudukan pemimpin," katanya.