Ahad, 12 March 2023 | 11:31am
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Noraini Ahmad. - NSTP/ARKIB
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Noraini Ahmad. - NSTP/ARKIB

Hasrat Kak Ijat tak kesampaian

KUALA LUMPUR: Cubaan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk kembali menerajui Wanita UMNO selepas menyepi hampir lima tahun tidak berjaya apabila perwakilan memilih mengekalkan gandingan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Datuk Norliza Abdul Rahim.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berusia 70 tahun itu sebelum ini bersara daripada politik pada 2018, selepas 11 tahun menerajui pergerakan berkenaan.

Dalam kenyataan sebelum ini, Shahrizat memaklumkan, keputusan untuk kembali ke gelanggang politik dibuat kerana mendapat permintaan pemimpin akar umbi dan pujukan beberapa ahli Wanita serta selepas difikirkannya selama lebih setahun.

Katanya lagi, beliau juga bersetuju untuk bertanding kerana Ketua Wanita UMNO tiada wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, sedangkan pimpinan sayap wanita parti lain berada dalam barisan kepemimpinan kerajaan.

Dalam kempen, beliau antara lain berjanji mengembalikan suara lantang dan keberanian Wanita UMNO sekiranya diberi kepercayaan untuk kembali memimpin sayap itu, selain mahu 'tudung merah' dan cogan kata 'ibu terbaik bangsa' yang menjadi identiti sayap itu sekian lama kembali digeruni.

"Saya minta Wanita keluarkan kembali tudung merah ini, suara kita mesti lantang. Bila pakai tudung ini, pasti muncul keberanian, boleh perang apa saja, jaga presiden, jaga parti, menjuarai dan menjadi nadi rakyat," katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang berterima kasih kepada sokongan dan undi diterimanya daripada perwakilan pada pemilihan semalam sehingga berjaya mengekalkan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.

Datuk Norliza Abdul Rahim mengekalkan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO. - Foto FB Norliza Abdul Rahim
Datuk Norliza Abdul Rahim mengekalkan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO. - Foto FB Norliza Abdul Rahim

"Alhamdulillah, tahniah kepada Ketua Wanita Bahagian yang telah menang. Terima kasih atas sokongan dan undi daripada semua perwakilan kepada saya selaku Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia. Saya amat bersyukur," katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Keputusan rasmi pemilihan akan diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, hari ini.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO.

Berita Harian X