JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa di negeri ini terus menurun sehingga pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata setakat jam 8 pagi seramai 42,638 mangsa banjir daripada 12,049 keluarga menurun berbanding 42,770 orang daripada 12,159 keluarga pada jam 8 malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, semua mangsa banjir ditempatkan di 155 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.
"Kini tinggal Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat yang masih terjejas dengan banjir.
"Jumlah mangsa banjir secara keseluruhan di empat daerah ini menunjukkan penurunan walaupun Batu Pahat mencatatkan penambahan jumlah mangsa banjir pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmi, setakat ini terdapat 39,870 mangsa banjir (11,128 keluarga) yang masih ditempatkan di 115 PPS di Batu Pahat.
Manakala, katanya, di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,457 orang (443 keluarga) di 16 PPS.
"Tangkak dan Segamat juga mencatatkan penurunan mangsa banjir masing-masing 949 orang (378 keluarga) di 10 PPS dan 362 mangsa banjir (100 keluarga) di 14 PPS," katanya.