KUALA LUMPUR: Penyandang Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, mendahului pesaingnya apabila mengumpul 41 undi setakat jam 11 malam ini, meninggalkan Tan Sri Shahrizat Abd Jalil yang mendapat 29 undi.
Bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO, Norliza Abdul Rahim, mendahului dengan 46 undi, sambil diekori Rosni Zahari yang mendapat 23 undi.
Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO, Naszriah Ngasri, mendahalui dengan 53 undian, sambil diekori Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dengan 46 undian, manakala Wan Mohalina Wan Mohammad tidak jauh di belakang dengan 40 undian.
Bagi pemilihan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, mendahului dengan 53 undi, diikuti Datuk Khaidirah Abu Zahar dengan 26 undian.
Bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin mendahului dengan 66 undian, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Rina Farhana Abdullah dan Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani, masing-masing mendapat 23 dan 21 undian.
Nik Zakirah Farhanis Zakimi Na Rahin dan Nooryana Najib antara calon jawatan AJK Puteri UMNO yang memperoleh undian tinggi dengan 96 dan 94 undi.
Selain Nooryana, Nurul Syifaa Mohd Ridzwan Goh turut mendapat 95 undi untuk jawatan sama.
Keputusan terkini Pemilihan UMNO 2023 dipaparkan menerusi laman Facebook UMNO Online bermula pada jam 2.00 petang tadi secara berperingkat berdasarkan bahagian yang sudah menyelesaikan proses pengiraan undi.
Keputusan yang dipaparkan hari ialah bagi jawatan-jawatan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat pusat serta bahagian.
Keputusan rasmi pemilihan ini akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.
Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita,
Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.
Hari ini, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian dijalankan serentak dengan Pemilihan EXCO Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.