KUALA LUMPUR: Dasar 'soft power' (kuasa lunak) dan diplomasi budaya menjadi antara dasar luar bagi meningkatkan pengaruh di persada antarabangsa serta mempromosi budaya di peringkat global, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, dasar 'soft power' yang dipopularkan oleh pakar politik Amerika Syarikat, Joseph S Nye sejak 1980, mengandungi instrumen kebudayaan, peradaban dan kesenian dalam mempengaruhi pihak lain.
"Dalam erti kata lain, 'soft power' adalah satu alternatif untuk kita meningkatkan pengaruh ('visibility' dan 'presence') di persada antarabangsa tanpa meminggirkan jati diri sesebuah bangsa dan negara," katanya ketika merasmikan Malam Baca Puisi PENA 2023 dan melancarkan Tabung Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia PENA di sini, semalam.
Zambry dalam ucapannya menyentuh mengenai beberapa perkara selaku menteri luar yang boleh mengkontemporerikan antara kesenian dengan polisi dan dasar luar negara.
Selain itu, Zambry berkata satu daripada polisi yang dikembangkan dalam kerangka dasar luar negaraialah diplomasi budaya atau 'cultural diplomacy' dalam usaha kementerian membantu meningkatkan keupayaan mengantarabangsakan budaya dan bahasa di peringkat global.
"Diplomasi budaya bukan sahaja mengenai pertukaran idea dan berkongsi pandangan, malahyang lebih penting apabila mampu merentasi hubungan dua hala antara negara," katanya.
Dalam ucapannya, Zambry berkongsi pengalamannya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat kawasan gempa bumi iaitu di Gaziantep, Turkiye.
"Kunjungan singkat ini membuktikan hubungan persahabatan yang erat antara Malaysia dan Turkiye serta pada masa sama menzahirkan sokongan moral dan solidariti kepada Turkiye," katanya.
Beliau turut menggamit memori ketika menjadi Menteri Besar Perak dan kejayaan menempatkan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) sehingga tercatat dalam peta puisi dunia dan berjaya disertai oleh ramai peserta luar negara.
"Begitulah juga harapan saya kepada penganjuran puisi PENA untuk menembusi arena antarabangsa suatu hari nanti," katanya sambil menambah bahawa program Baca Puisi yang dianjurkan PENA merupakan satu daripada platform dan boleh diangkat sebagai diplomasi budaya yang boleh diperkembangkan.– BERNAMA