Sabtu, 11 March 2023 | 7:22pm

BERSATU mahu Muhyiddin kekal Presiden

KUALA LUMPUR: BERSATU sebulat suara mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal sebagai Presidennya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, ketika bercakap kepada pemberita semalam berkata kedudukan Muhyiddin adalah berbeza dengan jawatan beliau sebagai Ketua Penerangan parti sebelum ini.

Wan Saiful meletakkan jawatan selepas dituduh di mahkamah berhubung kes rasuah sebelum ini.

"Setakat ini kita sebulat suara menyatakan bahawa kita mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden dan saya kena sebut bahawa (kedudukan presiden) berbeza dengan kedudukan saya.

"Saya adalah ketua penerangan yang dilantik, jadi apabila dilantik maka saya rasa saya ada tanggungjawab untuk melepaskan tanggungjawab tersebut.

"Tapi, Muhyiddin adalah pemimpin yang dipilih oleh ahli dan ahli menuntut supaya Muhyiddin kekal sebagai presiden," katanya selepas Perhimpunan Agung Tahunan Armada BERSATU, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada Muhyiddin perlu melepaskan jawatannya sebagai Presiden seperti beliau lakukan sebelum ini.

Muhyiddin pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Tuduhan itu menyebabkan Muhyiddin berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dilaporkan bermesyuarat lewat petang semalam bagi menentukan kedudukan Muhyiddin.

Difahamkan, usul mengenai mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU itu dijangka dikemukakan esok pada Persidangan Agung BERSATU.

Berita Harian X