Sabtu, 11 March 2023 | 5:46pm

Abdul Azim diisytihar Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau yang baharu

ARAU: Calon EXCO Pemuda UMNO Pusat, Abdul Azim Abdullah, 38, diisytihar menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau bagi Penggal 2023-2026 pada Pemilihan Sayap Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Arau, di sini, hari ini.

Kemenangan Abdul Azim pada pemilihan di Dewan Sivik Arau itu, menjadikannya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau yang baharu menggantikan penyandang pada penggal lalu, Syed Atif Syed Abu Bakar yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatannya itu.

Abdul Azim berkata, dengan kemenangannya itu, beliau berazam mahu memperkasakan jentera Pemuda UMNO Bahagian Arau sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Kita boleh lihat pasca PRU15 lalu, berlaku perpecahan dalam kalangan anak muda di bahagian ini dan kita menyasarkan untuk menambah semula keahlian jentera Pemuda UMNO susulan parti ini yang baru melalui proses pemutihan sebelum ini.

"Untuk tujuan itu, saya lebih cenderung menggunakan pendekatan aktiviti sukan bagi menarik sokongan golongan muda bersama-sama UMNO khususnya pada peringkat cawangan.

"Insya-Allah, pendekatan akan kita bawakan ini bakal membantu UMNO terutama di Arau dan Perlis bangkit semula dan kembali diterima rakyat," katanya selepas Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau 2023 di Dewan Sivik Arau, di sini, hari ini.

Katanya, beliau yakin barisan Pemuda UMNO di bahagian itu mampu bangkit semula, malah hubungan antara ahli juga semakin kukuh bagi memastikan pemerkasaan parti dapat dilakukan.

"Inilah masa kita bangkit semula dan saya akan cuba tarik pengundi muda bersama UMNO selepas ini," katanya.

Sementara itu, pada pemilihan sebelum itu pula, bekas EXCO Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Perlis, Rozieana Ahmad turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau.

Beliau menggantikan penyandang jawatan itu sebelum ini, Datin Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dipecat daripada parti pada Disember tahun lalu.

Berita Harian X