KUALA LUMPUR: Selang sehari selepas dihadapkan ke mahkamah, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat membuat penampilan sulungnya di Menara PGRM di sini, hari ini.
Beliau hadir bagi meninjau perjalanan Konvensyen Srikandi Muda dan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat ARMADA BERSATU, pada jam 2.30 petang tadi.
Presiden BERSATU itu turut diiringi beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan, termasuk Bendahari Agungnya, Datuk Mohamed Salleh Bajuri.
Semalam, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM195 juta.
Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pendakwaan itu menjadikan beliau sebagai bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Razak didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden BERSATU menggunakan kedudukan untuk suapan wang bernilai RM232.5 juta daripada Azman Yusuff, 51, serta tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd bagi sekutu parti itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden BERSATU didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang bernilai RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dibuat atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.