JASIN: Calon Ketua Puteri UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar, yakin proses pemilihan parti membabitkan sayap pergerakan parti itu yang berlangsung hari ini dilaksanakan secara telus.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim juga percaya ketelusan itu tidak dicemari dengan isu seperti pengundi hantu dan sebagainya.
"Alhamdulillah perjalanan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Jasin berjalan lancar dengan dibantu oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang menjalankan tugas dengan baik.
"Saya yakin proses pemilihan ini dilaksanakan dengan telus tanpa diselubungi isu seperti pengundi hantu dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membuang undi bagi proses pemilihan pucuk kepemimpinan sayap UMNO bagi sesi 2023-2026 sempena Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Jasin di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin hari ini.
Seramai 261 perwakilan Puteri UMNO Bahagian Jasin hadir membuang undi bagi pemilihan kepemimpinan baharu Puteri UMNO sesi kali ini.
Khaidirah atau lebih dikenali Dira yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO antara enam calon yang mengesahkan merebut jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti bagi sesi 2023-2026.
Lima lagi calon adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; EXCO Puteri UMNO, Dr Masliha Harun; Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi; EXCO Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan