Sabtu, 11 March 2023 | 1:35pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

SPRM tak perlu tunduk tekanan mana-mana pihak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak ketika melakukan siasatan, sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.

Pengerusi Biro Politik Dan Kepimpinan, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun, berkata pendakwaan terpilih oleh SPRM adalah tanggapan dan persepsi umum semata-mata, apabila seseorang pemimpin politik daripada mana-mana parti dituduh.

Katanya, ia terbukti apabila SPRM menyiasat, menahan dan mendakwa ramai ahli politik dan pemimpin parti daripada kerajaan mahu pun pembangkang yang mana ia membabitkan bekas perdana menteri, bekas timbalan perdana menteri, bekas ketua menteri dan bekas presiden parti.

"Mengapa mereka yang terbabit dalam amalan rasuah dan penyelewengan serta salah guna kuasa ini tidak belajar daripada apa yang berlaku kepada pemimpin politik terdahulu, yang mana ada yang merengkok dalam penjara?

"Apabila sesuatu kes dibawa ke mahkamah, semua pihak yang didakwa harus menunggu keputusan mahkamah, sama ada individu itu didapati bersalah atau tidak," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menyifatkan tuduhan itu sebagai pendakwaan terpilih ke atas dirinya dan tindakan politik berniat jahat, bertujuan melumpuh dan menghancurkan BERSATU serta PN.

Shahbudin berkata, dakwaan bahawa SPRM diarahkan mengambil tindakan itu atau adanya campur tangan pihak atasan adalah tohmahan semata-mata.

"Bagaimana pula dakwaan (boleh dibuat) Muhyiddin bahawa beliau dikenakan pendakwaan terpilih bermotifkan politik?

"Ketua Pengarah SPRM (Tan Sri Azam Baki) ialah lantikan pada zaman Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, begitu juga Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat), berbanding ketika pemimpin UMNO dikenakan tindakan mahkamah," katanya.

Berita Harian X