Sabtu, 11 March 2023 | 1:11pm

Pertuduhan ke atas Muhyiddin tak lemahkan PN - Takiyuddin

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) yakin sokongan rakyat terhadap gabungan itu akan bertambah walaupun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini berdepan enam pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya menerima maklum balas yang baik daripada rakyat terutama berkenaan sokongan terhadap PN.

"Kita melihat walaupun tuduhan dikenakan (terhadap Muhyiddin), kita menerima maklum balas yang baik daripada rakyat.

"Bahawa (tuduhan itu) ia satu perancangan untuk melemahkan PN, namun saya tidak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, malah ia akan menambahkan lagi sokongan kepada kita

"Kita yakin sokongan rakyat terhadap PN akan bertambah dan ia tidak akan melemahkan kita," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu Kali ke-56 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya sama ada pertuduhan dihadapi Muhyiddin akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PN untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung membabitkan enam negeri.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, pihaknya akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri untuk menerangkan kepada rakyat berhubung perkara itu.

"Kita bertanggungjawab untuk menjelaskan pandangan dan akan beri penjelasan kepada rakyat tentang apa yang sedang berlaku. Kita mempunyai 4.7 juta penyokong yang mengundi kita.

"Kita akan menggabungkan segala kekuatan iaitu PAS dari segi jentera, BERSATU dari segi 'figure' (nombor) dan GERAKAN mewakili orang bukan Melayu," katanya.

Semalam Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

 Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X