KUALA LUMPUR: Tempoh pengundian bagi pemilihan UMNO 2023 peringkat sayap hari ini dilanjutkan sehingga jam 7 malam khusus bagi bahagian UMNO yang terkesan banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, berkata pendekatan sama juga akan dilaksana pada persidangan 18 Mac depan sekiranya situasi banjir khususnya di Johor masih belum reda sepenuhnya.
Beliau berkata, bagi lanjutan proses pemilihan peringkat sayap hari ini, JPU sudah memutuskan proses pemilihan di bahagian UMNO Parit Sulong di Batu Pahat, Johor dilanjutkan hingga tempoh itu.
"Bagi bahagian-bahagian yang terkesan akibat banjir seperti Parit Sulong, JPU sudah memutuskan bahawa tempoh masa untuk mengundi boleh dilanjutkan hingga jam 7 petang bagi membolehkan seberapa ramai perwakilan menyertai pemilihan UMNO di peringkat sayap di bahagian mereka.
"Sekiranya keadaan itu berlarutan juga hingga 18 Mac, kaedah sama boleh juga dipakai oleh bahagian Parit Sulong atau bahagian-bahagian lain untuk keselesaan dan untuk melancarkan pengundian bolehlah diadakan tempoh pemilihan hingga jam 7 malam pada hari yang sama," katanya dipetik menerusi portal UMNO Online.
Tidak boleh ubah tarikh
Shahrir berkata, JPU tidak boleh mengalihkan daripada tarikh perwakilan sayap yang sudah ditetapkan pada 11 Mac dan 18 Mac bagi bahagian tetapi proses pengundian itu boleh dipanjangkan hingga jam 7 malam.
Bahagian UMNO Parit Sulong, Sri Gading, Segamat dan Ayer Hitam antara bahagian yang terkesan ketika ini ekoran banjir termenung yang melanda kawasan berkenaan.
Berdasarkan data di Portal Bencana Banjir Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat jam 6 pagi semalam, lebih 37,230 mangsa banjir masih direkodkan di Batu Pahat membabitkan 10,440 keluarga.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, JPU juga memutuskan proses pemilihan parti bahagian UMNO Rompin di Pahang diadakan di dua tempat berasingan.
"Pihak JPU sudah membuat cadangan kepada bahagian Rompin untuk membenarkan perwakilan diadakan di dua tempat yang berasingan. Ini bermakna adanya kita akan tambah pemantauan dan penyelarasan daripada JPU.
Hari ini, akan diadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri bahagian, serentak dengan pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Selain itu Shahrir berkata, dua bahagian UMNO yang ditangguhkan perwakilannya sebelum ini iaitu Kota Kinabalu di Sabah dan Tanah Merah di Kelantan tidak akan terbabit dalam pemilihan parti di peringkat kebangsaan.
Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri bermula 1 Februari lalu dan berakhir pada 26 Februari.
Pemilihan UMNO dijadualkan berakhir pada 18 Mac ini, dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT.
Bagi pemilihan peringkat sayap-sayap parti merangkumi Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat pusat hari ini, seramai 266 calon bakal bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan.
Pemilihan itu akan berlangsung serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara.
Paling mencuri tumpuan adalah pertandingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, akan dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.
Shahrizat, 70, yang mengumumkan bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO ketika itu, memutuskan untuk kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat gesaan daripada kalangan pemimpin akar umbi Wanita.
Sementara itu bagi jawatan tertinggi parti, JPU menerima seramai 118 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Daripada jumlah itu, lapan pemimpin menawarkan diri merebut tiga jawatan Naib Presiden sementara 95 bagi jawatan Ahli MKT.
Katanya, tiga pencalonan bagi Ahli MKT ditolak selepas didapati tidak memenuhi syarat untuk bertanding iaitu seorang anggota MKT atau pernah memegang jawatan sekurang-kurangnya satu penggal atau tiga tahun di peringkat bahagian.
Pada 26 Februari, iaitu tarikh akhir kemuka pencalonan, JPU terima bagi peringkat Ahli MKT seramai 118 calon yang mendaftar dan semakan dibuat bagi tentukan kelayakan mereka bertanding.
SENARAI CALON PUSAT PEMILIHAN UMNO 2023-2026
Klik imej untuk lihat senarai penuh calon pemilihan