SEPANG: Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), merampas 14,249 naskhah al-Quran yang tiada perakuan KDN, dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Setiausaha bahagian itu, Nik Yusaimi Yusoff, berkata rampasan dilakukan menerusi lima siri Operasi (Op) Mulia bermula Januari hingga bulan lalu, hasil aduan serta risikan dijalankan.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati penjualan kebanyakan al-Quran berkenaan membabitkan platform e-dagang dan media sosial yang kini mempunyai capaian pasaran sangat luas.
"Sebanyak 14,249 naskhah al-Quran dianggarkan bernilai RM325,571 dirampas dalam lima Op Mulia membabitkan tiga serbuan di sekitar Lembah Klang dan masing-masing satu serbuan di Kedah serta Pulau Pinang.
"Berdasarkan hasil risikan, naskhah al-Quran yang dijual menerusi platform e-dagang itu didapati tiada perakuan KDN dan dikhuatiri ia mengandungi kesilapan serta kesalahan yang boleh mencemarkan kesucian al-Quran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Nik Yusaimi berkata, hasil risikan terhadap laman e-dagang juga mendapati penjualan naskhah al-Quran yang tiada perakuan KDN masih berleluasa.
"Kita sedang menjejaki beberapa pihak penjual e-dagang dikesan menjual al-Quran tiada perakuan KDN, yang beroperasi di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Sabah.
"Hasil siasatan mendapati ada yang menjual al-Quran dibawa masuk dari negara jiran, justeru ini boleh menimbulkan syubhah (kesamaran sehingga meragukan).
"Al-Quran diperakukan KDN adalah yang menggunakan Rasm Uthmani serta bebas kesalahan seperti ayat tidak sempurna dan kesilapan pada titik serta tanda baris, sebagaimana tertakluk bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur'an 1986," katanya.
Nik Yusaimi berkata, teks dan bahan al-Quran yang memperoleh perakuan LPPPQ selepas mendapat syor Lajnah Tasheh al-Quran, mempunyai dua elemen tanda perakuan KDN, iaitu cap perakuan LPPPQ serta pelekat hologram.
Ia mesti mempunyai cap perakuan LPPPQ tertera di dalam naskhah, manakala pelekat hologram pula dilekatkan pada kulit naskhah.
Beliau menegaskan, bahagiannya akan terus melakukan risikan dan operasi berterusan bagi membanteras penjualan serta pengedaran naskhah dan bahan al-Quran yang tidak diperakukan KDN.
Sementara itu mengulas mengenai mesyuarat hari ini pula, Nik Yusaimi berkata, beberapa keputusan dibuat, antaranya membatalkan satu lesen mencetak al-Quran oleh sebuah syarikat di Pulau Pinang selepas didapati tidak lagi aktif mencetak dan menerbitkan kitab suci berkenaan.
"Mesyuarat hari ini juga meluluskan empat pruf akhir teks al-Quran, manakala lima diluluskan dengan pembetulan dan dua lagi ditolak.
"Ia adalah 11 permohonan semakan diterima oleh Lajnah Tasheh al-Quran, baru-baru ini, untuk enam naskhah teks al-Quran (30 juzuk) serta lima bahan teks al-Quran.
"Selain itu, mesyuarat meluluskan pemuliaan terhadap 1,988 naskhah teks al-Quran serta 20,675 unit bahan al-Quran di enam negeri, iaitu Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kedah," katanya.
Susulan keputusan hari ini, beliau berkata, terdapat 916 perakuan pruf akhir teks al-Quran dengan pertambahan empat permohonan pruf akhir teks al-Quran, sudah diluluskan.
Pruf itu diperlu bagi memastikan teks dan bahan al-Quran yang dicetak, diterbit, diimport serta diedar di negara ini tidak mengandungi apa-apa kesilapan dan kesalahan, dalam usaha menjaga kesucian al-Quran.