Jumaat, 10 March 2023 | 8:42pm
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Nik Yusaimi Yussof - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Nik Yusaimi Yussof - Foto NSTP/Owee Ah Chun

Pembangun aplikasi al-Quran diminta buat semakan dengan KDN

SEPANG: Pembangun perisian aplikasi al-Quran di telefon bimbit dan dalam talian, disyorkan membuat permohonan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membuat semakan dalam memastikan kandungan Kitab Suci itu tiada kesilapan.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN), Nik Yusaimi Yusoff, berkata setakat ini masih belum ada mana-mana pembangun perisian aplikasi al-Quran tampil membuat permohonan semakan.

"Kita bersedia menerima permohonan daripada mana-mana pembangun aplikasi al-Quran untuk membuat semakan yang dilaksanakan Ahli Jawatankuasa Penyemakan Dan Penilaian Teks al-Quran (Lajnah Tasheh al-Qur'an).

"Buat masa ini, KDN sudah meluluskan satu aplikasi dibangunkan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dengan kolaborasi KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) iaitu Smart Quran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPQ) hari ini.

Dalam pada itu, katanya orang ramai yang ingin membaca dan mengamalkan al-Quran, sebaik-baiknya adalah melalui pembacaan kitab naskhah al-Quran.

"Bagaimanapun, kita tidak menafikan kemajuan teknologi kini memudahkan orang ramai membaca al-Quran dengan adanya aplikasi di telefon bimbit dan dalam talian.

"Orang ramai mempunyai pilihan dengan aplikasi yang pelbagai, tapi kita nasihatkan orang ramai menggunakan aplikasi Smart Quran yang mana ia sudah diperakui dan bebas dengan sebarang kesilapan," katanya.

Mengenai trend penjualan al-Quran dalam variasi moden dan mewah, Nik Yusaimi berkata, tiada masalah berhubung penjualan al-Quran sedemikian tetapi penjual perlu mendapatkan perakuan KDN.

Katanya, pihaknya menyedari wujud pelbagai reka bentuk al-Quran yang menjadi trend pada ketika ini antaranya al-Quran dihiasi kristal dan swaroski serta al-Quran khas buat wanita.

"Bagaimanapun, teks dan bahan al-Quran yang dicetak, diterbit, dimport dan diedar dalam negara ini perlu dipastikan tidak mengandungi apa-apa kesilapan dan kesalahan dalam menjaga kesucian al-Quran.

"Semakan perlu dilakukan bagi memastikan mushaf terbabit mempunyai kandungan yang tepat dan menggunakan rasm Uthmani ,"katanya.

Tambahnya, setiap permohonan untuk penyemakan akan dikenakan fi RM1,500 dan tempoh semakan serta kelulusan mengambil masa tidak lebih enam bulan.

Berita Harian X