Jumaat, 10 March 2023 | 6:52pm
NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kes Jana Wibawa: Siasatan bebas, tiada campur tangan - SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa siasatan terhadap beberapa individu berhubung kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), dilakukan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak.

SPRM dalam satu kenyataan, hari ini, berkata siasatan terbabit adalah berdasarkan bukti serta maklumat diperoleh agensi penguat kuasa itu sendiri.

Menurutnya, kertas siasatan yang dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

"Proses siasatan itu adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

"Justeru, tohmahan menyatakan siasatan SPRM dilakukan atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik, adalah tidak benar sama sekali serta menjejaskan imej SPRM," katanya.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dituduh di mahkamah, hari ini, mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan beliau belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau mengetahui tindakan untuk mendakwa dirinya sudahpun diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

"Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

"Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan," dakwanya.

Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan, meliputi empat kerana menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Presiden BERSATU itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terbabit dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berita Harian X