Jumaat, 10 March 2023 | 5:28pm
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama sebahagian penyokong yang hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama sebahagian penyokong yang hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Gelombang 'Abah' semakin kuat dengan tuduhan terhadap Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Dakwaan salah guna kuasa dan rasuah terhadap Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tidak mematahkan semangat ahli parti.

Sebaliknya, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Faizal Azumu berkata tindakan pendakwaan yang disifatkan pendakwaan politik itu telah membangkitkan semangat dan mengukuhkan lagi kekuatan parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

"Walaupun amalan tradisi parti yang lazimnya menyaksikan Perhimpunan Agung Tahunan parti dirasmikan oleh presiden dan timbalan presiden tidak dapat dilakukan kerana kepimpinan parti berada di Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada presiden parti, perwakilan tetap bersemangat meneruskan persidangan dan berbahas usul-usul penting berkaitan isu rakyat," katanya dalam sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi BERSATU, hari ini.

Beliau berkata sokongan terhadap presiden BERSATU semakin utuh dan beliau tidak melihat atau menerima laporan mengenai perpecahan dalam parti akibat pendakwaan yang sedang berlangsung.

"Perwakilan tetap fokus mengenai isu rakyat, membantu rakyat menangani masalah yang mereka hadapi, ahli Bersatu semakin bersemangat dan semakin utuh menyokong presiden dan pimpinan parti," katanya.

Ditanya sama ada Himpunan Rakyat yang dijadualkan berlangsung esok akan menyaksikan ahli dan penyokong PN merusuh membantah pendakwaan terhadap Muhyiddin, Faizal berkata Himpunan Rakyat yang direncana adalah bertujuan berkongsi maklumat kepada rakyat mengenai agenda parti dan bukan untuk merusuh.

"Ia seperti Jelajah Rakyat 'Road Show' untuk memberi penerangan kepada rakyat seluruh negara mengenai perjuangan parti, dan bukan sahaja pada malam esok, dengan Pilihan Raya Negeri yang akan datang, jelajah rakyat ini akan dilaksanakan di seluruh negara, terutama di negeri yang terbabit dengan PRN akan datang," katanya.

Gambar fail - Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Gambar fail - Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Hamzah kata tiada sebab untuknya dipanggil SPRM

Sementara itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata tidak ada sebab beliau dipanggil untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hentikan spekulasi yang tidak berasas, tiada sebab saya hendak dipanggil SPRM," katanya pada majlis sama.

Beliau berkata pendakwaan terhadap Muhyiddin hari ini telah mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan ahli dan perwakilan.

"Sesiapa pun yang didakwa, parti ini akan tetap menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran, bukan dikira siapa bakal didakwa, sesiapa pun yang didakwa secara salah, kami akan pertahankan," katanya.

Muhyiddin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. Kes beliau akan disebut semula 26 Mei ini.

Berita Harian X