BATU PAHAT: Penduduk di daerah ini diminta berjaga-jaga dengan kemungkinan susulan banjir yang masih belum reda dan fenomena air pasang yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.
Pegawai Daerah Batu Pahat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah, Nasri Mohd Ali, berkata situasi itu akan menyebabkan peningkatan air di kawasan rendah di daerah ini, terutama melibatkan kawasan Parit Raja dan Sri Medan.
"Dengan pertembungan situasi berkenaan dan pertambahan air dari empangan berhampiran daerah ini, ia akan memberi kesan kepada kawasan yang rendah.
"Keadaan ini dijangka menyebabkan peningkatan bilangan mangsa banjir di daerah ini walaupun keadaan cuaca ketika ini panas. Penduduk diingatkan supaya berjaga-jaga dengan situasi terbabit," katanya, hari ini.
Katanya, setakat 12 tengah hari tadi, seramai 38,135 penduduk daripada 10,683 keluarga ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat.
Nasri berkata, susulan peningkatan bilangan mangsa banjir di daerah ini, tiga institut pengajian tinggi awam (IPTA) digunakan untuk menempatkan mangsa banjir bermula semalam.
Sementara itu, katanya, situasi banjir di daerah ini belum dikategorikan sebagai 'banjir termenung' kerana aliran air masih mengalir dari Sungai Rengit dan Sungai Segamat, manakal air empangan berhampiran dibuka pada tahap minimum.
"Kami turut menerima cadangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengepam (air) di kawasan tertentu, tetapi ia tidak boleh dilakukan sehingga keadaan air stabil.
"Kami jangka empat hari atau seminggu akan datang (akan melakukan proses pam). Kita berdoa agar hujan berhenti supaya gerak kerja dapat dilakukan secepat mungkin," katanya. - BERNAMA