Jumaat, 10 March 2023 | 4:06pm

Pemilihan UMNO: 266 calon rebut 15 jawatan Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat

KUALA LUMPUR: Sejumlah 266 calon bakal bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan pada pemilihan UMNO bagi EXCO Wanita, Pemuda serta Puteri peringkat Pusat sesi 2023-2026, yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, esok.

Pemilihan itu akan berlangsung serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara.

Paling mencuri tumpuan adalah pertandingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, akan dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.

Shahrizat, 70, yang mengumumkan bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO ketika itu, memutuskan untuk kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat gesaan daripada kalangan pemimpin akar umbi Wanita.

Bagi mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita yang disandang pula, Norliza Abdul Rahim bakal berdepan penyandang Ketua Penerangan sayap itu, Rosni Zahari yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seterusnya, dua calon akan bertanding bagi jawatan Pengerusi Tetap Wanita dan empat lagi untuk kerusi Timbalan Pengerusi Tetap (empat), manakala 61 calon merebut kedudukan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK).

Pertandingan jawatan Ketua Pemuda pula menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar; serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Selain itu, penyandang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah, dan seorang lagi calon, Meor Hassan Mat Ali.

Perebutan jawatan Timbalan Ketua Pemuda juga menyaksikan empat calon mempertaruhkan nasib, iaitu anak kepada seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham; anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib yang juga ADUN Peramu; penyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah; dan penyandang kerusi EXCO Pemuda, Muhammad Farhan Khairuddin.

Selain itu, tujuh calon bertanding bagi jawatan Pengerusi Tetap Pemuda, Timbalan Pengerusi Tetap (12) dan AJK (113).

Pada masa sama, enam calon bersaing bagi menduduki kerusi Ketua Puteri UMNO.

Mereka ialah penyandang jawatan, Nurul Amal Mohd Fauzi; penyandang ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang juga ADUN Rim; dan penyandang Setiausaha Puteri, Nurul Hazwani Haslan.

Tiga calon lain ialah penyandang EXCO Puteri, Dr Masliha Harun dan Fadwah Anuwar; serta penyandang Ketua Puteri UMNO Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin.

Jawatan Naib Ketua Puteri pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang EXCO Puteri, Siti Sokhleha Nordin dan Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani serta penyandang Ketua Puteri UMNO Mersing, Rina Farhana Abdullah.

Jawatan Pengerusi Tetap pergerakan itu dan Timbalannya pula masing-masing ditandingi dua calon, manakala 52 calon bersaing bagi jawatan AJK.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri bermula 1 Februari lalu dan berakhir pada 26 Februari.

Pemilihan UMNO dijadualkan berakhir pada 18 Mac ini, dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT.

 

SENARAI CALON PUSAT PEMILIHAN UMNO 2023-2026

Klik imej untuk lihat senarai penuh calon pemilihan

MKT UMNO

Wanita UMNO

Berita Harian X