KUALA LUMPUR: Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan.
Ia susulan kes mahkamah dihadapi bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang hari ini didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, kedudukannya perlu dibincangkan MPT BERSATU kerana situasinya berbeza dengan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan parti selepas didakwa di mahkamah pada 21 Februari lalu.
Muhyiddin berkata, kedudukannya dalam BERSATU adalah kerana dipilih melalui pertandingan, manakala jawatan Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor adalah jawatan lantikan.
"Saya akan bawa kedudukan saya dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi BERSATU untuk mereka memutuskan dalam kadar segera. Apa pun keputusan yang dibuat oleh mereka, saya akan akur," katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas Perdana Menteri kedua didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.
Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik BERSATU.
Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.
Bekas Perdana Menteri turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya, manakala pertuduhan keempat menggunakan kedudukan untuk suapan, wang RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.
Semua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.
Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden BERSATU menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.
Bagi kes itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu pada 21 Februari lalu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.