Jumaat, 10 March 2023 | 10:56am

Muhyiddin dijangka hadapi satu lagi pertuduhan Isnin depan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan mahkamah di Shah Alam, Isnin ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pertuduhan itu juga berkaitan rasuah.

Beliau berkata demikian kepada penyokong PN di luar mahkamah, hari ini.

Ahmad Faisal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun berkata, pertuduhan terhadap Muhyiddin hari ini sebagai peristiwa yang menyedihkan bagi negara.

Beliau menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang berkorban untuk negara, dimalukan dengan pendakwaan di mahkamah.

"Jika seorang negarawan boleh diperlaku sedemikian, bagaimana pula dengan nasib rakyat," katanya kepada media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Muhyiddin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Anggota polis mengawal pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota polis mengawal pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Muhyiddin akan menghadapi satu lagi tuduhan Isnin ini. - Foto AFP
Muhyiddin akan menghadapi satu lagi tuduhan Isnin ini. - Foto AFP
Ahmad Faizal bersama penyokong parti di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahmad Faizal bersama penyokong parti di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X