Jumaat, 10 March 2023 | 9:15am

Mangsa banjir di Johor terus meningkat

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Batu Pahat sudah mencecah 38,134 orang setakat jam 8 pagi ini, menyumbang kepada peningkatan jumlah bagi seluruh negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata mangsa banjir di Batu Pahat yang terdiri daripada 10,682 keluarga kini ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, jumlah mangsa banjir di enam daerah terjejas pula kini mencecah 45,218 orang (12,781 keluarga) pagi ini, berbanding 43,856 orang (12,620 keluarga) pada jam 8 malam tadi.

"Sebanyak enam daerah yang masih terjejas setakat ini iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kluang.

"Sehingga jam 8 pagi ini, Batu Pahat sahaja yang masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, empat yang lain menurun, manakala sebuah daerah kekal.

Banjir di Seri Gading, Batu Pahat sudah memasuki hari ke-10. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Banjir di Seri Gading, Batu Pahat sudah memasuki hari ke-10. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,661 orang (1,091 keluarga) di 19 PPS dan Tangkak pula kini menempatkan 2,073 orang (675 keluarga) di 19 PPS.

"Segamat pula kini tinggal 1,045 mangsa banjir (262 keluarga) di 20 PPS dan Kluang berkurang kepada 113 orang (24 keluarga) di dua PPS.

"Mersing kekal dengan jumlah mangsa banjir 219 orang (53 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS," katanya hari ini.

Menurut Azmi, terdapat sebuah PPS baharu dibuka dan kini semua mangsa banjir ditempatkan di 174 PPS.

Penduduk meredah banjir untuk membeli keperluan di Seri Gading, Batu Pahat, hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Penduduk meredah banjir untuk membeli keperluan di Seri Gading, Batu Pahat, hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir semua daerah di Johor.

Bagi cuaca sebenar pula, setakat tengah hari ini menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah, kecuali Mersing dan Kluang yang dilaporkan hujan.

Berita Harian X