PENGKALAN HULU: Sebanyak 21 kes dikesan dalam operasi membanteras ketirisan subsidi diesel melalui Op Tiris dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mulai 1 Mac lalu di seluruh negara, membabitkan rampasan 93,740 liter diesel bernilai RM283,375, hingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Aris Mamat, berkata Sarawak mendahului dengan merekodkan lima kes, diikuti Negeri Sembilan (empat) dalam tempoh lapan hari pelaksanaan operasi itu yang akan dijalankan hingga 31 Ogos depan.
Katanya, antara kes terbabit dikesan berlaku di stesen minyak, selain modus operandi suspek didapati menggunakan kenderaan seperti kereta dan lori untuk mengulang isi diesel sebelum menyembunyikan bekalan bahan api bersubsidi itu di premis lain.
Ditanya sama ada masalah ketirisan subsidi diesel di negeri bersempadanan dengan negara jiran kini berada pada tahap serius, Aris menjelaskan, ia diukur berdasarkan kes demi kes.
"Apabila kita mendapat maklumat sama ada melalui risikan atau daripada orang luar (awam), kita akan terus mengambil tindakan.
"Ketirisan dikesan berlaku pada banyak peringkat, termasuk di stesen minyak dan melalui pemborong. Ia bukan setakat pembelian bahan api itu oleh warga asing di stesen minyak," katanya pada sidang media sempena Program Kolaborasi KPDN bersama Agensi Penguat Kuasa di Sempadan Cegah Ketirisan Diesel di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, membangkitkan isu ketirisan subsidi diesel dianggarkan hampir RM10 bilion pada tahun lalu.