KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak E-Cigarette: Sains, Peraturan dan Kesihatan Awam 2022 kali ke-10 di London baru-baru ini membincangkan secara komprehensif peranan produk e-rokok dan vape sebagai produk kurang mudarat serta cabaran baharu kepada pakar kesihatan, penggubal undang-undang dan masyarakat umum dalam usaha mengawal penggunaan tembakau dan tabiat merokok.
Seramai 22 pakar kesihatan awam membentangkan data sains dan hasil kajian dan penyelidikan (R&D) dalam empat sesi iaitu sains dan bukti, kesihatan awam dan polisi, kawalan tembakau, peraturan dan industri serta pengurangan kemudaratan tembakau dan langkah penamat.
Debat berkaitan peranan e-rokok iaitu peranti elektronik yang mengandungi nikotin manakala, peranti dengan fungsi sama namun tidak mengandungi nikotin dipanggil vape dengan teknologi dan prinsip prinsip dipanaskan dan bukan dibakar (heat-not-burn) berbanding rokok tradisional berasaskan pembakaran (combustion) sentiasa menjadi topik panas dalam membahaskan isu kematian disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok.
Antara fokus sidang kemuncak itu ialah mencari titik persefahaman mengenai kekurangan kesepakatan pendapat mengenai perkara itu dalam menyampaikan maklumat yang jelas dan tepat berdasarkan data sains dan kajian R&D pemegang taruh kepada masyarakat dan perokok dewasa dan tegar.
Sejauh mana polisi dan peraturan yang dilaksanakan oleh badan penguatkuasa kesihatan hanya boleh disampaikan kepada kumpulan sasar dengan rangka kerja penyelidikan yang kukuh, analisis yang saksama dan komunikasi yang tepat.
Timbalan Ketua Sekolah Klinikal Universiti Monash Johor Baru, Profesor Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam ketika ditemui di London berkata, kerajaan tidak seharusnya bimbang untuk memasukkan produk kurang mudarat seperti e-rokok dan vape dalam usaha menggalakkan rakyatnya berhenti merokok.
Beliau berpandangan bahawa maklumat tepat dan jelas mengenai produk kurang mudarat tidak akan melangkaui usaha menghentikan tabiat merokok sebaliknya dapat membantu dalam menguatkuasakan peraturan baharu mengenai kawalan produk berkaitan tembakau dan merokok.
Sebagai contoh, jelasnya, Dasar Generasi Penamat (GEG) Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam mengawal tabiat merokok dan penggunaan peranti e-rokok dalam kalangan generasi muda tidak seharusnya tergesa-gesa bagi mengelak 'kesilapan yang sama berulang pada masa akan datang'.
Rang Undang-Undang itu bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.
"Apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan tergesa-gesa maka akan ada kemungkinan atau peluang untuk melakukan kesilapan. Apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha ke arah itu secara kolektif oleh semua pihak," kata Dr Sivakumar, yang berpengalaman berkhidmat sebagai Keta Unit Penyalahgunaan Bahan dan Koordinator Unit Penyelidikan Psikiatri Hospital Permai, Johor Bahru.
Dr Sivakumar berkata, nikotin adalah bahan yang paling ketagihan di dunia. Disebabkan ini, sentiasa ada populasi tertentu yang tidak boleh berhenti daripada menghisap rokok.
"Bukan kerana mereka tidak mahu tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian. Kerajaan harus mempertimbangkan untuk memberi mereka (perokok sedia ada) pilihan (alternatif untuk membantu mereka berhenti daripada tabiat itu)," katanya.
Oleh demikian, Dr Sivakumar khuatir bahawa kesilapan akan berulang apabila negara sedang memerangi penyalahgunaan opioid.
"Saya telah berada dalam dunia pengurangan bahaya sejak masalah opioid. Adakah orang ramai benar-benar menghentikan penyalahgunaan heroin apabila kita (negara) berkata tidak kepada penyalahgunaan bahan tersebut tanpa menyediakan alternatif?
"Jawapannya adalah tidak. Apa yang berlaku ialah, terdapat heroin pasaran gelap yang haram (diseludup ke negara ini), yang seterusnya membawa kepada peningkatan kes jangkitan HIV dan Hepatitis C (daripada suntikan yang tidak selamat). Masalahnya sangat besar sehingga kami terpaksa memperkenalkan pengurangan bahaya," katanya.
Dalam Sidang Kemuncak E-Rokok 2022 yang diadakan di Royal College of Physicians di London, Dr Sivakumar adalah antara speaker yang membentangkan kertas kerja berjudul 'Kawalan Tembakau dan Nikotin di Negara Berpendapatan Rendah dan Sederhana.
Dalam pembentangan itu, beliau berkata penduduk Malaysia bersedia untuk mempertimbangkan produk kurang mudarat sebagai langkah ke arah menamatkan tabiat rokok tradisional berdasarkan tinjauan An Insight on Tobacco Harm Reduction in 2021 yang dijalankan oleh Datametrics Research & Information Centre (DARE).
"Antara dapatan tinjauan menunjukkan 80 peratus daripada responden percaya bahawa penggunaan strategi pengurangan bahaya tembakau akan membantu perokok berhenti rokok tradisional. Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 58 peratus daripada responden tidak berpendapat bahawa kerajaan sedang giat membangunkan strategi pengurangan bahaya tembakau.
Dr Sivakumar juga berkata bagi usaha berhenti merokok mencapai sasarannya, kerajaan perlu menggubal dan melaksanakan dasar yang bersesuaian dan mengambil kira keperluan dan kehendak perokok dalam negara, berbanding memperkenalkan dasar yang dilaksanakan di negara lain.
Sementara itu, Pengarah Action for Smokefree 2025 (ASH) New Zealand, Ben Youdan dalam pembentangan kertas kerja berjudul 'Polisi Penamat Tembakau New Zealand: Sebab Untuk Diraikan Atau Sebaliknya' turut berkongsi mengenai penurunan bilangan perokok dewasa dan peningkatan penggunaan produk kurang mudarat dalam tempoh dua tahun lalu, sebelum negara itu memperkenalkan Rang Undang-Undang Persekitaran Bebas Asap Rokok bulan lalu.
Kadar merokok di New Zealand, katanya, sudah berada di paras terendah dalam sejarah, dengan hanya 8 peratus orang dewasa merokok setiap hari mengikut statistik kerajaan yang dikeluarkan pada November lalu – turun daripada 9.4 peratus pada tahun lalu dan menjangka dapat mengurangkan jumlah itu kepada kurang daripada 5 peratus menjelang 2025, dengan matlamat akhirnya untuk menghapuskan tabiat itu.
Rang undang-undang itu juga direka untuk mengehadkan bilangan peruncit yang mampu menjual produk tembakau kepada 600 di seluruh negara – turun daripada 6,000 pada masa ini – dan mengurangkan tahap nikotin dalam produk untuk menjadikannya kurang ketagihan.
"Kita perlu jujur mengenai transformasi (mengurangkan) tabiat merokok selepas ada negara yang berminat untuk mencontohi polisi yang dilaksanakan di New Zealand," katanya.
Malam, Menteri Kesihatan yang baharu, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata, kementerian itu akan meneliti semula dasar GEG daripada segi pelaksanaan undang-undang dan tidak akan bersikap drastik apabila membuat keputusan mengenai perkara itu.
Antara lain, undang-undang GEG akan melarang penjualan dan penggunaan sebarang bentuk produk berkaitan rokok, termasuk rokok elektronik, kepada orang yang dilahirkan mulai 1 Januari 2007, dan seterusnya. Rang undang-undang itu dibentangkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Julai tahun lalu untuk bacaan kali pertama tetapi kemudiannya merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi.