Khamis, 9 March 2023 | 12:48pm

Anwar pertahan Menteri Dalam Negeri guna kuasa untuk UMNO

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri ada kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan seharusnya tidak timbul isu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengatasi kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pertikaian berhubung keputusan RoS dan kenyataan Saifuddin berhubung usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding, tidak berbangkit.

"Ia dalam peruntukan undang-undang. Ada kuasa RoS yang kemukakan kepada menteri. Ada kuasa menteri. Biar menteri jelaskan dan menteri sudah jelaskan.

"Saya dalam kerja saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, ada kalanya saya 'override' (mengatasi) keputusan pegawai.

"Umpamanya dahulu ada pegawai diarah beri kontrak ikut rundingan terus. Saya 'override', kerana saya fikir lebih baik kita gunakan proses tender supaya lebih telus," katanya hari ini.

Sebelum ini, Khairy Jamaludin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan dikeluarkan Saifuddin untuk menggunakan kuasanya dalam pengecualian undang-undang terhadap UMNO menunjukkan parti itu ternyata melanggar Akta Pertubuhan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, Akta Pertubuhan 1966 diluluskan oleh Parlimen dan sekiranya ada pihak mahu akta itu dipinda, perkara itu seharusnya diserahkan kembali kepada Parlimen.

Menteri Dalam Negeri memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 berhubung pemilihan parti itu.

Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertanding dalam pemilihan bulan ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto hiasan NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto hiasan NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Anwar (empat, kiri) melawat Festival Taman Kuala Lumpur 2023, hari ini. Beliau diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (dua, kiri). - Foto BERNAMA
Anwar (empat, kiri) melawat Festival Taman Kuala Lumpur 2023, hari ini. Beliau diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (dua, kiri). - Foto BERNAMA
Berita Harian X