Khamis, 9 March 2023 | 12:03pm

Kerajaan belum noktahkan hasrat laksana semula GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menoktahkan hasrat untuk melaksanakan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun ia tidak akan diperkenalkan semula tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan GST akan membantu kerajaan meningkatkan pendapatan, sekali gus membolehkan lebih banyak usaha membantu rakyat, khususnya membasmi kemiskinan tegar.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini kerajaan masih mengkaji dan meneliti mengenai bilakah tempoh yang sesuai untuk memperkenalkan semula GST.

"GST boleh membantu (kerajaan mendapat) pendapatan yang lebih, dengan pendapatan yang lebih itu kita boleh membantu rakyat yang susah.

"Jika ada GST, kita boleh menoktahkan kemiskinan. Bukan hanya (kategori) had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM1,109 boleh dinoktahkan, tapi juga yang berpendapatan RM2,208 ke bawah boleh dinoktahkan jika kita mempunyai kewangan yang banyak.

"GST boleh jadi cukai yang progresif jika kita mengenakan kadar sifar kepada barangan yang digunakan golongan B40. Kita masih lagi mengkaji, menilai bilakah masa yang sesuai.

"Kita masih lagi tidak menoktahkan GST ini. Setakat itu yang saya boleh nyatakan, cuma pada tahun ini ia tidak akan dilaksanakan," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada pelaksanaan semula GST pada bila-bila akan memberi kesan kepada rakyat, khususnya golongan B40, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

Mengulas lanjut, Ahmad mempertahankan pelaksanaan GST dengan menegaskan sejumlah 173 daripada 193 negara telah melaksanakan GST atau turut dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT).

"Kalau melihat trend itu, iaitu 174 daripada 193 negara (laksana GST/VAT), takkanlah 174 negara itu silap membuat keputusan," katanya.

Mengulas soalan asal Rayer yang bertanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST, Ahmad memaklumkan GST boleh direka untuk menjadi cukai progresif pada masa depan dengan mengenakan kadar sifar ke atas barang dan perkhidmatan asas yang digunakan golongan kurang berkemampuan.

Jika GST dilaksanakan semula, katanya, sistem percukaian Malaysia secara umum akan kekal bersifat progresif, di mana golongan berkemampuan menanggung kadar beban cukai yang lebih berbanding golongan kurang berkemampuan.

Beliau turut memaklumkan, negara merekodkan hasil bersih GST berjumlah RM27.3 bilion pada 2015, disusuli RM41.2 bilion (2016), RM44.3 bilion (2017) dan RM20.2 bilion (2018), berbanding hasil bersih Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berjumlah RM27 bilion pada 2019, disusuli RM26 bilion (2020) dan RM25 bilion (2021).

"Bayangkan cukai bersih daripada GST paling tinggi adalah RM44 bilion, manakala purata daripada hasil SST lebih kurang RM25 bilion. Itu bezanya, banyak angka itu.

"Kalau dilaksanakan GST saat dan ketika ini, mungkin dah jadi RM50 bilion. Maka 25 bilion hasil kita kurang dengan SST berbanding GST," katanya.

Berhubung soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya sama ada kerajaan mampu mencapai sasaran pengurangan defisit fiskal kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tanpa GST, Ahmad mengakui keputusan mengenai pelaksanaan GST memberi kesan pada sasaran itu.

Namun, katanya, ada kaedah lain yang cuba dilaksanakan kerajaan bagi memastikan sasaran penurunan defisit fiskal itu mampu dicapai tanpa GST, antaranya menerusi pelaksanaan invois elektronik (e-Invoicing) yang sudah mula dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Invois elektronik ini dikenakan kepada pedagang, usahawan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat-syarikat bagi mengurangkan ekonomi gelap.

"GST boleh mengurangkan ekonomi gelap, yang merangkumi lebih kurang 30 peratus daripada KDNK. GST boleh mengurangkan 20 peratus daripada 30 peratus itu.

"Kita harap dengan penggunaan e-Invoicing, segala perniagaan semakin telus dan kadar ekonomi gelap boleh kita kurangkan dan kutipan hasil kita boleh tambah, sebelum ada keputusan lain mengenai GST," katanya.

 Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X