Khamis, 9 March 2023 | 11:37am

Beg sekolah berat: KPM akan tukar buku teks fizikal kepada digital

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) masih meneruskan usaha menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk buku teks fizikal kepada digital bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying bagaimanapun berkata usaha itu agak terhad, dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, KPM juga mengadakan sebahagian bahan pembelajaran dalam bentuk digital yang mana sehingga kini, sebanyak 754 buku teks digital dimuat naik melalui pelantar Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa).

"Kita memang ada dalam rancangan untuk mendigitalkan buku teks tetapi ini adalah terhad kepada mengenai pemilikan peranti digital dan ketersediaan capain internet tapi kita memang ada dalam rancangan untuk mengurangkan buku teks dan akan menambah pembelajaran digital.

"Namun kita tidak dapat memberikan jangka mangsa (sistem digital keseluruhannya) sebab ini tertakluk kekangan kewangan mungkin kita akan ada rancangan terperinci dalam jangka masa tertentu.

"Selain itu, pada tahun lalu kita membekalkan 3,800 projektor untuk digunakan di sekolah bagi membantu pembelajaran, fasa kedua tahun ini sebanyak 3,500 dan kita menyasarkan untuk menyediakan 3,800 projektor lagi tahun hadapan," katanya pada sesi jawapan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Romli (PN-Dungun) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan keputusan mengenai penyelesaian masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan murid.

Pada masa sama, Hui Ying berkata, KPM turut bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada aspek penyelarasan uniform supaya murid diberi kelonggaran memakai uniform sekolah masing-masing ketika Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi menangani isu beg berat.

Beliau berkata, KPM melaksanakan penambahbaikan inisiatif bagi menangani isu beg berat secara holistik sejak tahun lalu membabitkan penyediaan lokar sekolah rendah kepada semua murid tahap satu iaitu tahun satu dan tahun dua di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Katanya, penyusunan semula jadual waktu turut dilaksanakan bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara optimum dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

"Kita juga mengehadkan penggunaan bilangan buku latihan iaitu tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran dan menggunakan buku aktiviti yang disediakan KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu PdP," katanya.

 Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X