Khamis, 9 March 2023 | 9:18am

Pimpinan PN sertai 500 penyokong berkumpul depan pejabat SPRM

PUTRAJAYA: Selain pimpinan BERSATU termasuk Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta lebih 500 penyokong, pemimpin PAS turut hadir memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman antara yang dilihat hadir.

Sementara itu, pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain yang dilihat adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Dominic Lau, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Seri Rina Harun, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Azmin dan pemimpin PN hadir di SPRM, Muhyiddin dijangka tiba 11 pagi

Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim antara pemimpin Perikatan Nasional yang hadir memberi sokongan terhadap Presiden BERSATU,Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Mohamed Azmin Ali dan Shahidan antara pemimpin Perikatan Nasional yang hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin di Putrajaya, pagi ini. - Foto NSTP/SURAYA ALI
Mohamed Azmin Ali dan Shahidan antara pemimpin Perikatan Nasional yang hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin di Putrajaya, pagi ini. - Foto NSTP/SURAYA ALI

Penyokong BERSATU di luar Ibu Pejabat SPRM berikutan Muhyiddin dijangka hadir bagi memberi keterangan. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Penyokong BERSATU di luar Ibu Pejabat SPRM berikutan Muhyiddin dijangka hadir bagi memberi keterangan. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Mereka menyertai lebih 500 penyokong PN berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laungan 'bangkit! bangkit!', 'lawan kezaliman' dan 'lawan Anwar juga sudah kedengaran dalam kalangan penyokong parti itu.

Wartawan mula mula membuat liputan di sini seawal 8 pagi tadi.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tiba ke Ibu Pejabat SPRM 11 pagi ini untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ketua Penerangan BERSATU Nasional, Datuk Razali Idris menerima taklimat daripada Ketua Bahagian Ketenteraman Aaam, Ibu Pejabat Polis Putrajaya, Asisten Superintenden Marlizan Pa'Adek di hadapan Ibu Pejabat SPRM, pagi ini. - Foto NSTP

Semalam, Muhyiddin mengesahkan akan hadir di Ibu Pejabat SPRM pagi ini.

"Bagaimanapun esok Khamis, saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi," katanya Ahli Parlimen Pagoh itu di media sosial.

Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.

Bendahari Agung BERSATU, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.

Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik BERSATU dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan, semasa pandemik COVID-19.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Petugas media di depan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya menunggu ketibaa Muhyiddin, pagi ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Petugas media di depan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya menunggu ketibaa Muhyiddin, pagi ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

Muhyiddin meninggalkan persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini. - Foto hiasan NSTP/Aswadi Alias
Muhyiddin meninggalkan persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini. - Foto hiasan NSTP/Aswadi Alias

Penyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Penyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X