Khamis, 9 March 2023 | 12:52am
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - BERNAMA/ARKIB
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - BERNAMA/ARKIB

Sanusi ketawakan usul DUN Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mentertawakan usul Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang untuk mengecamnya berhubung dakwaan negeri itu milik Kedah.

Beliau menegaskan, usul itu tidak ada kaitan dengan sesiapa termasuk dirinya.

"Kalau dia (Lim Guan Eng) dengan sejarah Pulau Pinang versi dia yang dinafikan (Pulau Pinang) sebagai sebahagian daripada Kedah, dia tak perlu melompat pun, apa lagi sampai perlu bawa usul dalam DUN," katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Guang Eng yang jua bekas Ketua Menteri Pulau Pinang membentangkan usul berkenaan semalam.

"Sejarah tidak boleh dipadam dan ditulis ikut suka hati," kata Sanusi lagi.

Guan Eng membentangkan usul untuk mengecam Sanusi kerana berulang kali mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dan secara tidak langsung mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Pulau Pinang negeri anggota dalam Persekutuan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipetik berkata, Sanusi berulang kali mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang termasuk dalam ucapan terbaharunya yang mendakwa 'Pulau Pinang satu-satunya negeri yang kedaulatannya diragui'.

Menurut FMT, Sanusi berkata, sudah tiba masanya membentangkan versi sejarah tepat berkaitan kedaulatan Pulau Pinang, sambil menambah era di mana sejarah ditentukan penjajah telah berakhir.

"Ini zaman kita ungkapkan apa yang benar untuk perjalanan generasi akan datang tahu hakikat sebenar," katanya tanpa menjelaskan secara spesifik.

Kepada dakwaan beliau 'taksub dengan duit', Menter Besar Kedah berkata, tidak ada salahnya beliau mendesak Pulau Pinang membayar RM100 juta setahun sebagai bayaran pajakan kepada Kedah.

"Ada orang kata saya nak duit percuma. Ya, kalau dapat apa salahnya dan bukan untuk diri saya, untuk 2.2 juta rakyat Kedah."

Pulau Pinang dan Province Wellesley (kini Seberang Perai) dipajakkan Kesultanan Kedah kepada British pada 1791 pada harga 10,000 dolar Sepanyol.

Catatan sejarah menyatakan Syarikat Hindia Timur akhirnya memperoleh tanah itu daripada Sultan Kedah, sebagai balasan untuk perlindungan ketenteraan dan bayaran tahunan selama-lamanya.

Bayaran tahunan, kini honorarium ditetapkan pada RM10,000 selama beberapa dekad, tetapi dinaikkan kepada RM10 juta setahun oleh Putrajaya pada 2018.

Sanusi bagaimanapun menganggap honorarium itu 'bayaran pajakan' dan meminta ia dinaikkan kepada RM100 juta setahun memandangkan pendapatan dan hasil Pulau Pinang 'agak baik'.

Berita Harian X