KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda AMANAH Nasional membuat satu laporan polis terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung pengakuannya bahawa ada usaha oleh Perikatan Nasional (PN) untuk 'menjatuhkan' Kerajaan Perpaduan.
Menurut Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim, pengakuan Abdul Hadi itu dilihat sebagai satu perkara yang tidak bertanggung jawab dan bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, baru-baru ini.
"Justeru, kita tampil buat laporan polis pada hari ini untuk mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dengan segera terhadap Abdul Hadi serta sesiapa saja yang terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang ditubuhkan secara sah ini.
"Perkara ini boleh dianggap sebagai angkuh serta bertentangan dengan undang-undang yang mana ini boleh mengakibatkan huru hara dan keadaan yang kacau bilau diperingkat (politik) negara, selain boleh menyebabkan pihak luar bimbang untuk membuat pelaburan di negara ini," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi di sini.
Yang turut hadir, EXCO Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda.
Terdahulu, Naib Ketua Pemuda Amanah, Abbas Azmi, bersama sekumpulan penyokong menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta pertimbangan baginda menarik balik gelaran Tan Sri daripada Abdul Hadi atas kenyataan itu.
"Perkara yang dilakukan oleh Hadi ini tidak boleh dibiarkan, banyak kali Tuanku menitahkan bermula daripada penubuhan kerajaan supaya kita bersama mempertahankan kerajaan dan memulihkan keadaan negara," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Abdul Hadi berkata tindakan menjatuhkan kerajaan adalah biasa dalam politik.
Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) berhak untuk meneruskan rancangan menumbangkan Kerajaan Perpaduan maskipun ada yang meremehkan perkara itu.