KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, disenaraikan antara saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung petisyen yang difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang.
Peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Marang itu bersama beberapa lagi saksi akan dipanggil memberi keterangan, sebaik pihak pempetisyen selesai mengemukakan saksi pihak mereka.
Katanya, Abdul Hadi adalah antara saksi utama yang dipanggil pihak responden berhubung kes berkenaan.
"(Setakat hari ini), ia masih lagi di peringkat kes pempetisyen, dia mengemukakan tiga saksi hari ini.
"(Saksi) sudah dipanggil dua orang dan petang ini, seorang lagi saksi akan dipanggil, jadi masih lagi dalam kes pempestisyen (dan kita) responden belum bagi keterangan lagi.
"Apabila habis saksi pempetisyen baru kita buat kes kita," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu, kes pembicaraan memasuki hari ketiga di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani, yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.
Manakala pihak pempetisyen iaitu Jasmira Othman diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.
Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.
Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.