BATU PAHAT: Sebelas pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini terpaksa ditutup kerana dinaiki banjir berikutan pertambahan aliran air sungai dari Chaah, Segamat dan pelepasan air dari Empangan Bekok dan Empangan Semberong.
Lapan daripada 11 PPS berkenaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Comel, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Sekolah Agama (SA) Sri Comel, SK Sri Sejati, SA Kamoung Jawa, SK Parit Ju dan Masjid Selulun di Simpang Kiri.
Sebuah lagi PPS terpaksa ditutup membabitkan SK Tanjung Sembrong di DUN Semarang dan dua PPS di DUN Parit Raja, iaitu SK Parit Jambul Laut dan SK Parit Sempadan Laut.
Pegawai Daerah Batu Pahat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah, Nasri Mohd Ali, berkata semua mangsa yang sebelum ini ditempatkan di 11 PPS berkenaan, telah dipindahkan ke PPS lain yang lebih selamat.
"Cuaca di daerah ini cerah dan panas sejak tiga hari lalu, tetapi air masih naik kerana pertambahan aliran air sungai dari Chaah, Segamat.
"Bukaan Empangan Bekok dan Empangan Semberong pada kadar yang terkawal. Ia punca utama air naik di daerah ini sehingga hampir 30,000 mangsa ditempatkan ke PPS setakat tengah hari tadi. Mangsa meningkat kerana aliran air turun ke Parit Raja dan Sri Gading," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati laluan keluar masuk ke pekan Sri Medan, di sini yang ditenggelami banjir sejak Rabu lalu kini boleh digunakan kenderaan, termasuk motosikal selepas bah mulai surut.
Bagaimanapun, masih ada 'banjir termenung' di kawasan depan deretan kedai, masjid, Pejabat Pos Sri Medan dan beberapa kawasan lain berdekatan.
Laluan terputus akibat ditenggelami banjir di Parit Yaani menghala Sri Medan pula hanya dibuka untuk kenderaan berat dan kenderaan pacuan empat.