ISKANDAR PUTERI: Keadaan banjir sekitar Batu Pahat masih lagi buruk dengan jumlah mangsa masih meningkat, walaupun tiada hujan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keadaan itu mengakibatkan keadaan banjir termenung di kawasan terjejas sekitar daerah itu.
"Batu Pahat walaupun hujan sudah berhenti, tetapi airnya masih lagi termenung.
"Kebiasaannya keadaan banjir termenung mengambil masa untuk air banjir itu turun dan surut.
"Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani sudah membuat penyelarasan untuk memastikan bahawa air termenung itu dapat keluar dengan cepat, Insya-Allah,"katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan Sounthern Volunteers, sukarelawan dan agensi kerajaan sempena konvoi pasca banjir Johor di Dataran Mahkota Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Azmi selain kesemua EXCO Kerajaan Negeri.
Peningkatan jumlah mangsa banjir dilaporkan membabitkan tiga daerah iaitu Batu Pahat, Muar dan Kluang.
Batu Pahat terus menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir apabila melonjak kepada 29,341 orang (8,278 keluarga) membabitkan 94 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari tadi.
Di Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,123 orang (1,240 keluarga) di 21 PPS, manakala Kluang bertambah tiga orang menjadi 1,313 mangsa (367 keluarga) di 12 PPS.
Sabtu lalu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan akan menempatkan 15 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec (kaki persegi sesaat) di kawasan kritikal banjir di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak, Johor, bagi mempercepatkan aliran air banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, dilaporkan berkata 10 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec dilengkapi generator juga sudah tersedia untuk dihantar ke Johor sebagai pam tambahan.
"Operasi pam bergerak ini sebagai tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepatkan aliran air banjir untuk mengurangkan kedalaman banjir," katanya