Rabu, 8 March 2023 | 11:55am

Akta baharu penyalahgunaan dadah kurangkan kesesakan penjara

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam usaha menggubal akta baharu, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi mengurangkan bilangan penagih di penjara dengan menempatkan mereka di institusi atau rawatan pemulihan komuniti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata negara kini berdepan dengan kesesakan pesalah reman dan sabitan di 39 penjara membabitkan 74,459 tahanan sedangkan kapasitinya hanya kira-kira 65,000 orang.

Beliau berkata, melalui akta itu, mana-mana penagih yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dabah Berbahaya 1956 dan perlu melalui hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun, hanya perlu mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan pemulihan komuniti.

"Sekarang dalam pembikinan (akta) kita jangka tahun ini boleh dibentangkan... apabila akta baharu ini digubal dan diluluskan, kes membabitkan penemuan dadah dalam badan itu akan terus disalurkan kepada program rawatan di bawah AADK, atau rawatan pemulihan dalam komuniti.

"Saya fikir ini akan memberi kesan signifikan dalam mengurangkan kesesakan dalam penjara... hari ini kita ada 39 penjara seluruh negara dan kapasiti sekarang tahanannya, 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara kita cuma asalnya sekitar 65,000 jadi ada lebihan," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan komitmen kementerian untuk k menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan populasi banduan penjara di Malaysia.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, melalui pelaksanaan akta baharu itu, penagih yang dihantar ke institusi AADK perlu menjalani rawatan selama dua tahun, sebelum perlu menyambung rawatan peringkat komuniti untuk tempoh dua tahun lagi.

"Kalau rawatan pemulihan komuniti sahaja, mereka perlu ditempatkan selama tiga tahun... berbeza dengan sekarang, pesalah ini mungkin berakhir di penjara," katanya.

Beliau berkata, dalam setiap 800 pesalah dibebaskan membabitkan semua kesalahan yang peruntukan hukumannya di bawah tiga tahun, hanya seorang sahaja dilaporkan berpatah balik melalui program bersifat korektif antaranya lembaga parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen.

Katanya, melalui inisiatif itu, kerajaan yang secara puratanya berbelanja sebanyak RM450 bagi setiap tahanan sebulan, berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM17 juta tahun lalu dalam aspek berkenaan.

"Bagi kesalahan lain pula (yang bukan peruntukan hukuman di bawah tiga tahun), 100 yang dibebaskan, 15 berpatah balik ke penjara," katanya.

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan turut membantu golongan banduan yang sudah dibebaskan namun tidak diterima masyarakat, dengan menempatkan mereka di rumah perantaraan selain membantu mereka mendapatkan kerja.

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X