KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan masalah kemurungan dan anxiety atau gangguan kebimbangan tertinggi tahun lalu, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan saringan membabitkan 336,900 penduduk di seluruh negara yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada masalah kemurungan di Wilayah Persekutuan termasuk ibu negara dan Putrajaya ialah kos sara hidup tinggi, miskin bandar, masalah perhubungan dengan ibu bapa dan rakan sebaya.
"Pada 2022, kita menjalankan saringan keseluruhan membabitkan 336,900 dan dalam keputusan itu, kita dapati negeri tertinggi alami masalah kemurungan dan anxiety ialah di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya)... orang Wilayah Persekutuan banyak masalah.
"Seperti diketahui ramai golongan B40 di Wilayah Persekutuan selain masalah perhubungan contohnya tekanan dari ibu bapa yang mahu anaknya menjadi menteri... kasihan anak-anak jadi tertekan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mahu tahu negeri mana mempunyai kes tertinggi masalah gangguan mental.
Berdasarkan maklumat tambahan, daripada 336,906 jumlah saringan kesihatan mental dijalankan di seluruh negara, sebanyak 24,139 atau 7.1 peratus kes didapati mempunyai simptom kemurungan.
Sementara 32,759 (9.7 peratus) kes mempunyai simptom anxiety yang sudah diberikan intervensi dan rawatan lanjut.
Daripada semua jumlah saringan itu, Wilayah Persekutuan merekodkan sebanyak 70 peratus masalah kemurungan dan anxiety, diikuti Johor (44 peratus); Labuan (33 peratus) dan Sabah (23 peratus).
Kelantan pula merekodkan peratusan kes terendah dengan satu peratus, diikuti Terengganu (tiga peratus) dan Kedah (enam peratus).
Pada masa sama, Dr Zaliha berkata, mengenai masalah kesihatan mental dihadapi golongan muda termasuk remaja dan belia, ia dipengaruhi faktor sosial seperti masalah kewangan, masalah perhubungan, buli, tingkah laku berisiko, penyalahgunaan bahan terlarang, rasa rendah diri dan jangkaan yang tinggi terhadap diri sendiri, sekali gus menyumbang kepada tekanan tinggi, keresahan dan kemurungan.
Beliau berkata, inisiatif dijalankan KKM bagi menangani masalah itu ialah dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental disediakan di 1,161 klinik kesihatan, 58 hospital, 34 buah pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), dan empat institusi mental membabitkan aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.
"Pelaksanaan program Minda Sihat Sekolah yang dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Program Expresi Anak Remaja Lestari (PEARL) dan pelaksanaan Program Siswa Sihat (PROSIS)," katanya.
Beliau berkata, KKM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Demensia bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan demensia bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan mental dalam kalangan warga emas.
Selain itu katanya, komponen kesihatan mental juga terkandung dalam Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 yang sedang dikemas kini.
"KKM turut mengambil inisiatif membangunkan modul kemahiran kesihatan mental khusus untuk golongan warga emas di mana modul ini memfokuskan kepada aspek kemahiran yang diperlukan golongan warga emas seperti pemikiran positif, komunikasi interpersonal, penyelesaian masalah dan boleh digunakan untuk melatih warga emas mengenai penjagaan kesihatan mental kendiri," katanya.