KUALA LUMPUR: Institusi perbankan di bawah Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menyediakan bantuan banjir yang khusus, mudah diakses dan penuh belas kasihan untuk pelanggan yang terjejas akibat banjir.
Dalam satu kenyataan hari ini, ABM berkata ia sentiasa komited membantu pelanggannya di seluruh negara yang terkesan akibat bencana itu baru-baru ini.
"Bantuan yang ditawarkan berdasarkan program tersuai oleh bank individu dan mungkin termasuk (tetapi tidak terhad kepada) penangguhan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan, penepian yuran dan caj untuk menggantikan dokumen bank serta kad bank yang hilang/rosak dan banyak lagi.
"Justeru, ABM ingin menasihatkan pelanggan yang berada di kawasan terjejas banjir supaya merujuk kepada bank masing-masing untuk pengumuman mengenai pendekatan yang dicadangkan dan proses permohonan bantuan banjir.
"Pemberitahuan dan pengumuman penting mengenai bantuan banjir dan disiarkan di pelbagai saluran bank termasuk di cawangan, laman web dan media sosial," katanya.
Sebagai persiapan kecemasan banjir untuk memastikan operasi bank kekal tidak terjejas, ABM melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan perkhidmatan perbankan asas dan selesa terus tersedia kepada pelanggan yang terjejas banjir.
Tambahnya, notis akan diletakkan di cawangan terjejas serta menerusi laman web bank untuk memaklumkan kepada pelanggan tentang cawangan bank alternatif terdekat.
"Pelanggan terjejas banjir yang memerlukan bantuan dinasihatkan terus menghubungi bank masing-maisng," katanya.