Selasa, 7 March 2023 | 2:41pm

Banjir: Pejabat Kadi Segamat buka pusat pandu lalu kumpul al-Quran, buku agama

SEGAMAT: Pejabat Kadi Daerah membuka dua pusat pandu lalu pengumpulan naskhah al-Quran serta buku agama yang musnah akibat banjir di daerah ini.

Kadi Segamat, Mohamad Hamizan Sayuti, berkata penetapan itu dilakukan selaras dengan tanggungjawab pihaknya untuk menjaga kesucian ayat al-Quran.

Katanya, banjir yang masih melanda beberapa kawasan di daerah itu mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda, termasuk naskhah al-Quran dan buku agama di masjid, surau, sekolah, pusat tahfiz dan rumah persendirian.

"Justeru, kita menetapkan dua pusat pengumpulan pandu lalu di dua lokasi berhampiran lokaliti terjejas banjir iaitu Masjid Labis dan Masjid Bandar Segamat.

"Semua pihak, khususnya umat Islam boleh menghantar naskah al-Quran dan buku agama yang rosak ke pusat pengumpulan berkenaan dan tiada sebarang bayaran dikenakan," katanya ketika ditemui di Pusat Pelupusan al-Quran di Masjid Taman Yayasan Segamat, di sini, hari ini.

Katanya, aktiviti pelupusan itu tetap diadakan secara berkala jika terdapat permintaan daripada penduduk serta keperluan semasa.

"Pejabat Kadi akan bekerjasama dengan petugas di lokasi pengumpulan bagi menguruskan pengangkutan semua naskhah itu sehingga ke pusat proses pelupusan dilaksanakan," katanya.

Sukarelawan pusat al-Quran, buku agama di Masjid Taman Yayasan Segamat. - Foto AHMAD ISMAIL.
Sukarelawan pusat al-Quran, buku agama di Masjid Taman Yayasan Segamat. - Foto AHMAD ISMAIL.
Berita Harian X