KANGAR: Jenazah suri rumah, Safsufarnisya Salleh, 26, yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis di kediaman mereka di Simpang Empat, di sini, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat sebentar tadi.
Jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sekitar jam 6 petang tadi, dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat untuk disembahyangkan yang diimamkan bapa saudaranya, Rus'ele Eizan yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan itu sekitar jam 9.30 malam untuk dikebumikan.
Hampir 200 orang termasuk ibu bapa, ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham menghadiri majlis pengebumian malam ini.
Semalam, Safsufarnisya yang juga suri rumah maut selepas ditembak suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di Simpang Empat, Kangar.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 6 pagi dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.