Isnin, 6 March 2023 | 11:13pm
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

Shahrizat mahu ' tudung merah' kembali digeruni kawan, lawan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berjanji mengembalikan suara lantang dan keberanian Wanita UMNO sekiranya diberi kepercayaan untuk kembali memimpin sayap itu dalam pemilihan parti, minggu depan.

Bekas Ketua Wanita UMNO itu mahu 'tudung merah' dan cogan kata 'ibu terbaik bangsa' yang menjadi identiti sayap itu sejak sekian lama kembali digeruni kawan dan lawan, dengan usaha memperkukuh semula status Wanita sebagai senjata perang paling ampuh bagi UMNO.

"Sekarang ini UMNO memang perlu dibangunkan semula. Saya memang berminat dengan usaha ini dan tentunya komponen paling utama adalah Wanita UMNO dan kebetulan kita ada pemilihan.

"Saya tahu, hadiah istimewa Ketua Wanita untuk Presiden UMNO adalah mengembalikan suara lantang Wanita, keberanian Wanita dan jalinan rakyat Wanita.

"Kalau Wanita kuat, ini adalah hadiah kita kepada Presiden UMNO," katanya dalam program bual bicara Jawab, Saya Tanya bertajuk 'Menjahit Tudung Merah Yang Koyak?' yang disiarkan secara dalam talian di Facebook NRChannelTV, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan moderator Datuk Rafi Awang Kechik mengenai sebab untuk kembali menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Wanita UMNO, selepas pernah menyandangnya antara 2008 hingga 2018.

Wanita UMNO perlu ada kekuatan sendiri

Mengulas lanjut, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, Wanita UMNO perlu memiliki kekuatan tersendiri dan bukan meminjam kekuatan Presiden UMNO atau pihak lain.

"Kita tak boleh ambil kekuatan Presiden sebagai kekuatan kita. Sebaliknya Wanita UMNO yang perlu menjadi kekuatan kepada Presiden.

"Kalau Wanita sebagai tulang belakang kuat, maka jentera akan kuat dan Presiden tak perlu toleh ke belakang dan tanya 'ok ke, sokong aku ke tak'...Wanita UMNO setia, tak jadi masalah langsung.

"Jadi saya minta Wanita keluarkan kembali tudung merah ini. Suara kita mesti lantang.

"Bila pakai tudung ini pasti muncul keberanian, boleh perang apa saja, jaga Presiden, jaga parti, menjuarai dan menjadi nadi rakyat," katanya.

Wanita UMNO perlu ada kekuatan sendiri dan bukannya sekadar bergantung populariti Presiden.
Wanita UMNO perlu ada kekuatan sendiri dan bukannya sekadar bergantung populariti Presiden.

Terdahulu, Shahrizat mendedahkan beliau sudah memikirkan selama lebih setahun selepas berulang dipujuk beberapa ahli Wanita UMNO yang mahunya kembali memimpin sayap itu.

Katanya, sebab utama beliau bersetuju untuk bertanding adalah kerana Ketua Wanita UMNO tiada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, sedangkan pimpinan sayap wanita parti lain berada dalam barisan kepimpinan kerajaan.

"Rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan berbeza berbanding dahulu dengan pemimpin wanita yang bukan calang-calang...jadi saya tak rela tengok Wanita UMNO tidak bersama mereka kerana kita yang sepatutnya 'lead the way' (menerajui jalan).

"Legasi amat mustahak untuk saya. Kita tak boleh hanya buat kerja kebajikan, walaupun kebajikan adalah antara tugas penting dalam aktiviti Wanita.

Wanita sepatutnya 'lead the way'

"Tapi kita adalah wanita dalam politik, bukan wanita dalam badan kebajikan. Maka Wanita mesti menggerakkan agenda politik, ekonomi, menjuarai isu wanita, keluarga dan kanak-kanak," tegasnya.

Ditanya mengenai tuduhan mengatakan beliau melarikan diri selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018, Shahrizat menafikan perkara itu dan menegaskan tindakannya selaras situasi ketika itu yang menuntutnya menyerahkan tampuk pimpinan Wanita UMNO kepada individu lebih muda berstatus Ahli Parlimen.

Sepanjang tempoh hampir empat tahun selepas pemilihan parti 2018, beliau mengakui dapat melihat situasi dalam UMNO secara lebih segar, selain mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai hala tuju Wanita dan UMNO pada masa depan.

"Setelah lebih kurang tiga tahun setengah, saya nampak landskap politik baharu ketika ini memerlukan Wanita UMNO bangkit semula dengan semangat tudung merah supaya suara kita lantang, lebih perkasa, relevan, tidak takut hadapi apa jua cabaran kerana kita tulang belakang parti dan ibu terbaik bangsa," katanya.

Berita Harian X