PASIR GUDANG: Pelaburan syarikat asing berjenama global ke negara ini berupaya meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dengan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kemasukan pelaburan dua syarikat gergasi seperti Amazon Web Services (Amazon) dan Tesla, turut memberi limpahan ekonomi kepada kawasan setempat serta rangkaian industri.
"Saya melihat secara positif pelaburan kedua-dua syarikat ini kepada negara kita berikutan limpahan ekonomi yang akan dihasilkan kelak.
"Amazon sudah memberikan komitmen untuk membuat pelaburan berjumlah RM25.5 bilion sehingga 2037 terutama dari segi infrastruktur digital dan pusat data yang akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan membawa limpahan ekonomi kepada negara.
"Manakala, pelaburan Tesla pula penting kerana mereka antara yang peka dengan kepentingan industri automotif.
"Kita mempunyai kekuatan dari segi ekosistem sektor elektrik dan elektronik dalam negara dan kita juga adalah pengeluar konduktor ketujuh dunia yang sekali gus menyokong kepada teknologi pembuatan kenderaan elektrik (EV)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Pelabuhan Johor di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Pengerusi Johor Port Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia khususnya Johor terus menunjukkan trend pelaburan yang positif sepanjang tahun ini, khususnya dari segi eksport dan pelaburan langsung asing (FDI).
Pada masa sama, beliau turut memberitahu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan membentangkan laporan hasil pelaburan negara Rabu ini dan turut mengumumkan sasaran pelaburan negara bagi tahun ini.