Isnin, 6 March 2023 | 3:25pm

Banjir: Sesi persekolahan 2023/2024 tak tangguh, pelajar boleh belajar PdPR

SEGAMAT: Tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, pelajar di sekolah terjejas diberi pilihan belajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jika kerosakan sekolah tidak dapat dipulihkan sebelum cuti sekolah berakhir dua minggu lagi.

"Terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat yang juga adalah paling teruk iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah. Kita akan sedaya upaya akan melakukan kerja membaik pulih kerosakan dengan segera dalam tempoh dua minggu ini.

"Kita tidak akan menangguhkan sesi persekolahan tetapi kita bagi pilihan (jalani) PdPR supaya proses pembelajaran tetap berlangsung," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak teknikal dan jurutera yang menilai, sekolah terjejas bukan sahaja mengalami kerosakan, malah kemusnahan aset termasuk membabitkan meja guru dan perkakas perabot.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau bilik darjah yang terjejas akibat banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Bali di Chaah, di sini. - NSTP/Ahmad Ismail
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau bilik darjah yang terjejas akibat banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Bali di Chaah, di sini. - NSTP/Ahmad Ismail

Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac bagi negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor), manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya menyedari keperitan mangsa banjir yang mengalami kerosakan barangan persekolahan termasuk pakaian, Kementerian Pendidikan akan memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas datang ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.

"Kami ada pertimbangan manusiawi dan keinsanan, jadi mereka boleh datang ke sekolah dengan pakaian apa sekalipun asalkan mereka tetap pergi ke sekolah dan memulakan sesi persekolahan seperti biasa," katanya.

Terdahulu, beliau turut melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah di sini.

Tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini. - Foto fail NSTP
Tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini. - Foto fail NSTP
Berita Harian X