Isnin, 6 March 2023 | 12:30pm

Kadar IPG naik 20 sen diakui tidak atasi sengsara pekebun kecil

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengaku walaupun kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan sebanyak 20 sen daripada RM2.50 kepada RM2.70, langkah itu dilihat belum dapat membantu pekebun kecil untuk keluar daripada kesusahan akibat kos sara hidup yang tinggi kini.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Aminah Aching, berkata KPK bagaimanapun memberi jaminan sentiasa berusaha mencari mekanisme bagi membantu mengurangkan 'kesengsaraan' dihadapi pekebun kecil getah.

Beliau menjelaskan, KPK tidak bekerja secara 'silo', sebaliknya turut menjalinkan kerjasama dan mengadakan perbincangan dengan kementerian lain untuk mencari jalan membantu golongan berkenaan.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi pekebun kecil dan kerana itulah, kerajaan telah menaikkan (kadar IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70.

"Walaupun jumlah itu agak kecil tetapi sebenarnya ia menyumbang satu jumlah yang besar di mana kerajaan akan mengeluarkan (peruntukan) sebanyak RM350 juta kepada semua penerima nanti.

"Memang betul, ia (kenaikan 20 sen) belum lagi boleh membantu 100 peratus pekebun kecil tetapi insya-Allah, kerajaan sentiasa memikirkan dan membuat perbincangan dengan kementerian lain untuk mencari mekanisme menaikkan harga ini (IPG).

"Namun, ia bergantung pada peruntukan ataupun keupayaan kewangan kerajaan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Jeck Seng meminta kerajaan supaya kadar IPG bukan saja dikaji tetapi juga dinaikkan lagi seiring peningkatan kos sara hidup kini.

"Saya mengalu-alukan dalam bajet ini (Belanjawan 2023) (kadar IPG) RM2.70... tetapi perjuangan ini telah diadakan sekian lama, (kenaikan) 20 sen masih tidak mencukupi sebab kos sara hidup kita begitu tinggi.

"Saya berharap kerajaan bukan saja akan mengkaji secara berperingkat... kerajaan perlu memberi komitmen. Hari ini (kadar IPG) RM2.70, bilakah ia boleh ditingkatkan lagi supaya tidak kembali seperti sediakala. (Kadar IPG) RM2.70... (pekebun kecil getah) masih lagi sengsara.

"(Kadar IPG perlu ditingkatkan lagi) ...supaya pekebun kecil dapat dijamin dari segi kebajikan yang selama ini memang hidup sengsara," katanya.

Menjawab soalan asal Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai kesediaan kerajaan untuk menaikkan kadar IPG daripada RM2.50 kepada RM4.50 pula, Siti Aminah berkata, KPK akan memperhalusi cadangan itu sambil menjelaskan ia bagaimanapun tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan.

Gambar hiasan - FOTO NSTP
Gambar hiasan - FOTO NSTP
Berita Harian X