JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor mencecah lebih 50,000 orang apabila setakat jam 8 malam ini seramai 1,146 lagi mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata dengan penambahan jumlah itu, mangsa banjir di Johor kini direkodkan seramai 50,596 orang (14,515 keluarga) yang ditempatkan di 268 PPS seluruh negeri ini.
Beliau berkata, Batu Pahat, Segamat, Muar, Kota Tinggi, Tangkak dan Mersing mencatatkan peningkatan mangsa banjir, setakat jam 8 malam ini.
"Batu Pahat kini terdapat 19,883 mangsa banjir (5,619 keluarga) di 73 PPS yang dibuka di daerah itu, manakala Segamat pula dengan 13,527 mangsa banjir (3,696 keluarga) di 78 PPS.
"Di Muar pula terdapat 4,235 orang (1,250) di25 PPS; Kota Tinggi pula menempatkan 3,209 (851 keluarga) di 20 PPS; Tangkak pula terdapat 3,003 mangsa banjir (879 keluarga) yang kini ditempatkan di 22 PPS dan Mersing pula dengan 1,103 mangsa (326 keluarga) di enam PPS," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, Kluang pula menunjukkan penurunan kepada 4,893 mangsa banjir (1,402 keluarga) di 35 PPS, manakala Johor Bahru berkurangan kepada 393 mangsa (132 keluarga) di tiga PPS dan Pontian menurun kepada 286 mangsa (72 keluarga) di lima PPS.
Katanya, Kulai kekal dengan jumlah mangsa banjir hanya 64 orang (15 keluarga) di satu PPS.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, malam ini, terdapat 15 PPS baharu dibuka dan 11 pula ditutup.
Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula memaklumkan Kluang, Mersing dan Kota Tinggi terus berada dalam amaran waspada atau kuning kerana dijangka menerima hujan berterusan sehingga esok.
Setakat ini, laporan cuaca pula menunjukkan semua daerah berdepan cuaca cerah kecuali Kota Tinggi dan Tangkak yang hujan setakat jam 8 malam tadi.