KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) sudah mengadakan perjumpaan dengan wakil Kerajaan Arab Saudi bagi menyelesaikan masalah kekurangan penginapan di Makkah yang membelenggu agensi pelancongan.
Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pihak berkuasa negara berkenaan sedia maklum isu terbabit dan masalah dihadapi agensi pelancongan Malaysia sehingga terpaksa membatalkan atau menunda tarikh penerbangan jemaah umrah pada saat akhir.
"Mereka tahu dan akan menyelesaikan segala permasalahan yang dikemukakan. Kita sudah berjumpa menteri berkaitan dari Arab Saudi dan maklumkan masalah yang dihadapi," katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, menteri berkenaan juga memberi memberi jaminan kepada pihaknya sudah segera berhubung dengan agensi khusus jika berdepan masalah berkaitan.
Semalam, BH melaporkan lebih 400 jemaah berputih mata selepas agensi pelancongan yang sepatutnya membawa mereka mengerjakan umrah terpaksa menangguhkan perjalanan ke Tanah Suci pada saat akhir.
Lebih mendukacitakan apabila kumpulan pertama yang sepatutnya berlepas pada 25 Februari lalu menerima mesej berkaitan penundaan itu dua hari sebelum penerbangan.
Razali berkata, terdapat lima elemen perlu dilihat oleh agensi pelancongan sebelum dapat menyediakan pakej umrah kepada pelanggan, termasuk berkaitan tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan visa.
"Untuk visa umrah, tiada masalah kerana ia boleh dimohon dalam talian, manakala penerbangan pula kini tiada lagi masalah selepas isu bolot tiket penerbangan dibongkar. Namun, penginapan atau hotel di Makkah memang masalah utama.
"Jika agensi pelancongan membuat pembayaran penuh kepada pihak hotel, mereka tidak akan mengalami masalah. Jika agensi hanya bayar deposit, tak selesaikan pembayaran penuh dalam tempoh ditetapkan, hotel akan sewakan bilik kepada orang lain tanpa memulangkan wang deposit.
"Itu sebab ada kes jemaah sudah sampai sana, tetapi tiada bilik kerana semua bilik yang ditempah itu sudah diberikan kepada orang lain," katanya.
Mengenai segelintir agensi pelancongan yang masih mengiklankan pakej umrah walaupun tidak membuat pembayaran semula kepada pelangan sedangkan pakej sudah ditunda atau dibatalkan, Razali berkata, agensi itu perlu bertanggungjawab dan memulangkan bayaran jika diminta pelanggan.
"Sekiranya memang tidak boleh anjur pakej berkenaan, agensi itu sepatutnya buat pembayaran balik. Namun pada pendapat saya, seharusnya perlu bincang kedua-dua belah pihak sebab apa yang berlaku kini di luar kawalan.
"Masalah kini disebabkan tempat penginapan, harganya pula tidak masuk akal. Jadi, bila agensi minta tunda, kalau boleh terima sahajalah, sekurang-kurangnya agensi boleh minta pihak hotel untuk menukar tarikh, kalau nak minta hotel kembalikan deposit, memang tidak dapat.
"Jika mahu agensi pulangkan wang, mungkin ambil sedikit masa kerana duit itu sudah digunakan untuk proses visa, bayar tiket penerbangan serta deposit penginapan. Kita faham ada agensi yang kekurangan wang," katanya.
Katanya, PAPUH menyarankan pihak agensi untuk menghantar jemaah secara berperingkat, bukan dalam jumlah besar seperti hantar 400 orang sekali gus.
"Boleh hantar dalam 50 orang dulu atau agensi juga boleh membawa jemaah mengerjakan umrah pada Ramadan, namun ia memerlukan sedikit penambahan kos," katanya.