Sabtu, 4 March 2023 | 9:29pm
Lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia meredah air banjir membawa barang asas mangsa banjir di Lenga, Muar, hari ini. - Foto BERNAMA
Lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia meredah air banjir membawa barang asas mangsa banjir di Lenga, Muar, hari ini. - Foto BERNAMA

Bah di Johor semakin buruk

JOHOR BAHRU: Bah di Johor semakin buruk apabila mangsa banjir terus melonjak kepada 42,704 penduduk di 10 daerah, setakat jam 8 malam ini.

Ini membabitkan 12,408 keluarga yang berada 252 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di 10 daerah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata peningkatan mangsa banjir di Johor susulan hujan lebat berterusan, di samping keadaan cuaca yang terus buruk di semua 10 daerah di negeri ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kulai kembali terjejas banjir, selepas menutup semua PPS awal pagi kelmarin dengan 48 mangsa banjir daripada 11 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Beliau berkata, banjir di Johor merekodkan empat kematian, setakat ini dengan satu kes di Kluang, manakala tiga lagi di Segamat.

Katanya, Segamat kekal daerah paling terjejas dengan mangsanya 13,292 mangsa daripada 3,888 keluarga di 76 PPS.

"Batu Pahat pula melonjak tinggi dengan 12,286 mangsa banjir daripada 3,862 keluarga di 55 PPS.

"Ini diikuti Muar dengan mangsa banjir turut melonjak dengan 3,862 mangsa daripada 1,140 keluarga di 23 PPS.

"Mangsa banjir di Kota Tinggi pula seramai 3,257 mangsa daripada 873 keluarga di 20 PPS.

"Tangkak juga bertambah seramai 2,912 mangsa banjir daripada 866 keluarga di 24 PPS. Mangsa banjir di Johor Bahru pula menurun dengan 517 penduduk daripada 178 keluarga di empat PPS," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Mersing mencatatkan kenaikan dengan mangsa banjir seramai 911 orang membabitkan 264 keluarga di lima PPS.

Katanya, Pontian pula turun kepada 327 mangsa banjir daripada 87 keluarga di empat PPS.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan lebat berterusan tahap bahaya di Segamat, Kluang dan Mersing sehingga esok.

"Hujan lebat berterusan tahap buruk membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Setakat jam 8 malam ini, semua 10 daerah negeri ini mengalami hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi sekali gus meningkatkan kebimbangan lebih banyak kawasan bakal terjejas banjir," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak 22 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya, setakat jam 8 malam ini.

Katanya, ia membabitkan masing-masing tujuh di Segamat, lima Batu Pahat (lima), Muar (tiga), Kluang, Tangkak dan Kota Tinggi (dua) serta satu di Kulai.

Beliau berkata Sungai Segamat di bandar Segamat melebihi paras bahaya 9.30 meter, Sungai Muar di Lubuk Kepong (19.02 meter), Sungai Muar di Buloh Kasap (10.73 meter) dan Sungai Segamat di Segamat Kecil (38 meter).

"Turut melepasi paras bahaya di Segamat ialah Sungai Lenik di Kangkar Chaah (13.73 meter) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah (7.22 meter).

"Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok terus mencatatkan paras melebihi tahap bahaya di 20.50 meter, diikuti Sungai Bekok di bandar Yong Peng turut melepasi tahap bahaya 3.48 meter.

"Sungai Simpang Kiri di Seri Medan turut melepasi tahap bahaya di paras 2.71 meter, dan Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (12.59 meter)," katanya.

Penduduk Kampung Saujana, Lenga, Muar meninjau keadaan banjir yang belum surut berikutan hujan, hari ini. - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Saujana, Lenga, Muar meninjau keadaan banjir yang belum surut berikutan hujan, hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X