SUBANG JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas pelbagai al-Quran bernilai lebih RM1 juta tahun lalu kerana tiada perakuan.
Untuk tahun ini pula, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff, berkata naskhah al-Quran dan al-Quran elektronik yang tiada perakuan KDN bernilai RM215,000 dirampas.
Katanya, setiap al-Quran sama ada dalam bentuk naskhah, audio atau elektronik perlu diperaku KDN, sebelum boleh diedar atau dipasarkan.
Beliau berkata, ini bagi memastikan al-Quran yang ada dalam negara ini menggunakan kaedah penulisan atau rasm yang diiktiraf, iaitu Rasm Uthmani serta bebas kesalahan seperti ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan tanda baris.
"Ciri-ciri al-Quran disemak KDN meliputi penulisan Rasm Uthmani, penandaan al-Quran, jumlah bilangan ayat al-Quran, nama-nama surah dan juzuk yang ayat al-Quran serta berpandukan pencetakan Arab Saudi (Mujamma' Malik Fahd) dan Mesir.
"Selain itu, bagi teks al-Quran Tajwid dan Waqaf Ibtida' berwarna, disemak berpandukan Garis Panduan al-Quran Tajwid Berwarna Berserta Waqaf dan Ibtida' keluaran KDN," katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran atau Lajnah Tasheh al-Quran dengan membuat penyemakan terhadap 11 permohonan untuk enam naskhah teks al-Quran (30 juzuk) serta lima bahan teks al-Quran.
Permohonan diterima daripada lima syarikat penerbitan dan Jabatan Agama Islam Sarawak.
Nik Yusaimi berkata, proses semakan berlangsung tiga hari bermula oleh 35 ahli Lajnah lantikan KDN terdiri daripada pakar dan hafiz al-Quran dari seluruh negara.
Katanya, antara kesalahan selalu dikesan semasa semakan ialah ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan tanda baris, nama surah dan juzuk tidak jelas, nombor ayat hilang serta muka surat kotor.
"Terdapat 912 teks al-Quran sudah mendapat perakuan KDN sejak Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran ditubuhkan pada 1987.
"Ini bermakna terdapat 912 penerbitan al-Quran yang mempunyai perakuan KDN boleh dijual, dibeli, dimiliki, dibaca, diedar kepada masyarakat di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, teks dan bahan al-Quran akan dikeluarkan lembaga itu selepas mendapat syor Lajnah Tasheh al-Quran dengan mempunyai dua elemen tanda perakuan KDN, iaitu cop perakuan lembaga serta pelekat hologram.