Sabtu, 4 March 2023 | 4:53pm

Banjir: PPS SK Sri Sejati dinaiki air, 300 mangsa pindah dua kali

BATU PAHAT: Seramai 300 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan di sini, terpaksa dipindahkan kerana PPS berkenaan dinaiki air banjir, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, PPS itu dinaiki air hingga satu meter sejak awal pagi tadi.

Beliau berkata, seramai 241 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat ditugaskan memindahkan mangsa PPS terbabit dan sebahagian penduduk kampung yang masih terperangkap di kediaman masing-masing.

"PPS SK Seri Sejati dinaiki air. Kita dalam proses pemindahan kira-kira lebih 300 orang di PPS itu ke PPS yang baru.

"Selain mangsa dalam PPS itu, ada juga lebih 15 keluarga yang dikenalpasti masih berada dalam kediaman mereka dalam gugusan kampung Parit Warijo.

"Proses pemindahan membabitkan 241 anggota penyelamat dari PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), dengan menggunakan pelbagai aset termasuk 17 bot, lori Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), lori ATM, lori tanah dari Pejabat Tanah dan sebagainya," katanya.

Pasukan Penyelamat menggunakan aset termasuk lori FRU untuk membawa keluar mangsa dari PPS Sri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan yang turut dinaiki air. - Foto OMAR AHMAD
Pasukan Penyelamat menggunakan aset termasuk lori FRU untuk membawa keluar mangsa dari PPS Sri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan yang turut dinaiki air. - Foto OMAR AHMAD

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa memantau pasukan penyelamat di Kampung Parit Warijo dekat Sri Medan, di sini, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya akan juga menggerakkan dua jet ski bagi tujuan membuat pemantauan rumah ke rumah yang terjejas banjir.

Katanya, ada segelintir penduduk yang enggan berpindah kerana sayang mahu meninggalkan kediaman mereka sehingga menyukarkan kerja penyelamat.

Laporan terkini banjir di Johor setakat jam 4 petang hari ini.
Laporan terkini banjir di Johor setakat jam 4 petang hari ini.

"Semalam kita ada buat tinjauan di Parit Warijo dan Parit Masri, kita cuba keluarkan mereka tetapi ada sebahagian kecil penduduk yang tidak mahu berpindah.

"Jika polis atau agensi penyelamat lain minta untuk berpindah, sila berpindah, saat akhir hendak pindahkan mangsa banjir di PPS, ada orang tua, anak kecil dan wanita yang mahu tunggu hari bersalin yang juga perlu dipindahkan.

"Kita setakat ini terima panggilan menyelamat dalam 15 keluarga tetapi kita percaya lebih dari itu kerana dalam kampung ini terdapat gugusan kampung lain seperti Kampung Jayus 1 hingga 9, Kampung Basri Darat, Kampung Singgahan dan banyak lagi," katanya.

Ismail menjangkakan banjir di kawasan Batu Pahat terutama Sri Medan dan Parit Sulong bertambah buruk dalam tempoh dua hari, berikutan aliran air dari Yong Peng akan turun ke kawasan ini.

Pasukan Penyelamat menggunakan aset termasuk lori FRU untuk membawa keluar mangsa dari PPS Sri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan yang turut dinaiki air. - Foto OMAR AHMAD
Pasukan Penyelamat menggunakan aset termasuk lori FRU untuk membawa keluar mangsa dari PPS Sri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan yang turut dinaiki air. - Foto OMAR AHMAD
Berita Harian X