KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menempatkan 15 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec (kaki persegi sesaat) di kawasan kritikal banjir di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak, Johor, bagi mempercepatkan aliran air banjir.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, berkata 10 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec dilengkapi jenset juga sudah tersedia untuk dihantar ke Johor sebagai pam tambahan.
"Operasi pam bergerak ini sebagai tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepatkan aliran air banjir untuk mengurangkan kedalaman banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Md Nasir berkata, dalam kejadian banjir Monsun Timur Laut yang bermula pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, JPS sudah mengeluarkan empat amaran awal banjir bagi Johor dan Pahang berdasarkan maklumat Amaran Hujan Lebat Berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Katanya, di Johor amaran awal banjir dikeluarkan untuk daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing, manakala bagi Pahang untuk daerah Rompin.
"Di Johor hujan tertinggi direkodkan di stesen Air Panas, Segamat dengan jumlah hujan sebanyak 430 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam yang memberikan kala ulangan purata 172 tahun ARI (Average Recurrence Interval).
"Jumlah hujan diterima di stesen Air Panas dari 28 Februari hingga 3 Mac lalu adalah sebanyak 731mm dalam tempoh empat hari.
"Bacaan hujan kedua tertinggi direkodkan di stesen Liang Batu, Muar iaitu sebanyak 404mm sehari pada 1 Mac.
"Jumlah hujan bagi tempoh dari 28 Februari hingga 3 Mac adalah sebanyak 548mm," katanya.
Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, rekod hujan itu sudah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Mac untuk Johor iaitu 195mm sebulan.
Katanya, bacaan hujan kali ini adalah rekod tertinggi dicerap jika dibandingkan dengan rekod hujan bulanan tertinggi yang pernah dicerap pada Disember 1991 iaitu 621mm sebulan dan 599mm pada Disember 2006.
"Kali ini ia menyebabkan semua daerah terjejas akibat banjir. Sebanyak 105 lokasi banjir dilaporkan bagi Johor sehingga 3 Mac.
"Batu Pahat merekodkan jumlah lokasi banjir tertinggi iaitu 24 lokasi banjir dengan kedalaman kawasan terbabit banjir adalah antara satu hingga tiga meter," katanya.
Selain itu, beliau berkata, stesen hujan di Empangan Bekok turut mencatatkan bacaan kumulatif sebanyak 322mm hujan dalam tempoh 24 jam pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.
Katanya, taburan hujan yang tinggi itu menyebabkan pelepasan air mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 28 Februari sehingga kini.
"Kawasan yang terkesan ialah Pekan Yong Peng, Ladang Chaah, Jalan Yong Peng-Segamat (berhampiran Kampung Ngamarto), Kampung Haji Kamisan dan kawasan Sungai Temehil," katanya.
Beliau berkata, stesen hujan empangan Sembrong pula mencatatkan bacaan kumulatif hujan sebanyak 260mm hujan dalam tempoh 24 jam pada 28 Februari dan 1 Mac.
Katanya, taburan hujan yang tinggi itu menyebabkan pelepasan air terpaksa dilaksanakan bermula 1 Mac sehingga kini.
"Kawasan banjir terbabit adalah Mukim Tanjung Sembrong, Mukim Sri Gading dan kawasan Sawah Sagil," katanya.
Bagi stesen hujan empangan Machap di Kluang pula, katanya, ia mencatatkan bacaan kumulatif hujan sebanyak 395mm pada 28 Februari dan 2 Mac, manakala pelepasan air dilaksanakan bermula 1 Mac hingga kini mengikut SOP yang ditetapkan.
Beliau berkata, kawasan akan terjejas akibat pelepasan air Empangan Machap ialah Kampung Kolam Air dan Kampung Sungai Linau di Simpang Renggam.
"Berikutan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan membabitkan beberapa empangan di Johor, JPS membuat pelepasan empangan mengikut tatacara SOP operasi empangan.
"Limpahan air empangan melalui struktur alur limpah akan berlaku apabila aras takungan empangan melepasi aras tertinggi.
"Orang awam perlu sentiasa bersiap siaga dan mematuhi arahan dikeluarkan Pusat Kawalan Operasi Banjir daerah dan negeri," katanya.
Md Nasir berkata, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat hebahan amaran banjir dan status aras air sungai serta hujan di seluruh Malaysia di laman sesawang Public Infobanjir iaitu publicinfobanjir.water.gov.my dan aplikasi mobile apps MyPublic Infobanjir.